Perkhidmatan bas Rapid Penang percuma diteruskan tahun depan

Perkhidmatan bas Rapid Penang percuma akan diteruskan pada tahun hadapan untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang.
Perkhidmatan bas Rapid Penang percuma akan diteruskan pada tahun hadapan untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma ke seluruh negeri ini pada tahun hadapan.

Kerajaan negeri sebelum ini telah menyediakan inisiatif bas percuma di seluruh Pulau Pinang melalui pembiayaan penuh Pas Mutiara bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Disember ini.

Setiap rakyat Malaysia yang memiliki Pas Mutiara dapat menikmati perjalanan percuma menggunakan bas Rapid Penang di setiap laluan pada setiap masa.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, walaupun Pulau Pinang tidak termasuk dalam negeri-negeri yang mendapat manfaat My50 dalam pengumuman Belanjawan 2022 oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri akan terus membantu meringankan beban rakyat.

Bagaimanapun kata beliau, peruntukan untuk tahun hadapan adalah dihadkan kepada maksimum 7,500 pelanggan setiap bulan.

"Walaupun jumlah ini adalah kurang sedikit berbanding tahun semasa, namun ia diharapkan dapat menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam di negeri ini.

"Kita bermula dengan perkhidmatan CAT (Central Area Transit) di Georgetown kepada inisiatif BEST (Bridge Express Shuttle Transit) yang sudah berlangsung selama beberapa tahun. Tahun lalu, kita melaksanakan inisiatif bas percuma di seluruh negeri melalui pembiayaan penuh Pas Mutiara.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan pembiayaan Pas Mutiara ini untuk tahun hadapan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Zairil berkata, selain daripada subsidi bas, kerajaan negeri juga akan meneruskan perkhidmatan feri laju percuma kepada semua warganegara Malaysia yang diperkenalkan pada 1 Julai lalu.

"Perkhidmatan feri laju ini juga kita akan teruskan yang mana pada tahun ini, tiket adalah terhad iaitu 65,000 tiket sebulan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan memaklumkan kepada Rapid Penang berhubung permintaan laluan baharu untuk perkhidmatan awam berkenaan.

"Cadangan agar laluan bas diubah ke laluan baharu untuk memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar sekolah terutamanya di kawasan Permatang Sintok; Permatang Rambai; Permatang Kuala; Permatang Pauh; Permatang Bera, Penaga Dua sehingga ke Padang Gali itu, kita akan maklumkan kepada Rapid Penang selaku pihak operator perkhidmatan bas tersebut.

"Ia bagi penelitian kesesuaian perkhidmatan bas di laluan-laluan tersebut dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Zairil berkata, kerajaan negeri akan mengutarakan cadangan untuk mendapatkan 100 buah bas elektrik untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang kepada kerajaan Persekutuan.