Mazlan dahului terima darjah, pingat polis daripada Agong

Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) 2021 menyaksikan Mazlan mendahului senarai 220 penerima pingat pada istiadat yang berlangsung di Balairong Seri Istana Negara pada Khamis.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan 12 darjah PGPP antaranya kepada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Ramli Din; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain; Pengarah Pengurusan, Datuk Zaini Jass dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis kepada 48 penerima, Pahlawan Pasukan Polis (56 penerima), Kesatria Pasukan Polis (17 penerima), Bentara Pasukan Polis (84 penerima) dan tiga penerima Pingat Keberanian Polis.

Penganugerahan Pingat DKPP diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan di dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia.

Kali terakhir Istiadat Pengurniaan DKPP diadakan adalah pada 2019 dan istiadat tidak dapat diadakan tahun lepas berikutan penularan wabak Covid-19.

Turut hadir ke istiadat itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. - Bernama

Artikel Berkaitan: