Bawa masuk pekerja asing bukan sesuatu yang mudah

Saravanan meninjau ruang pameran ketika merasmikan Pusat Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ansonex Tapah pada Khamis.
Saravanan meninjau ruang pameran ketika merasmikan Pusat Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ansonex Tapah pada Khamis.
A
A
A

TAPAH - Pengambilan tenaga kerja asing dalam tempoh pandemik Covid-19 bukan sesuatu yang mudah kerana perlu melalui pelbagai prosedur dan pertimbangan ketat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan perlu meneliti dan mengambil kira pelbagai aspek menyentuh soal keselamatan, kesihatan, keperluan sektor ekonomi dan kadar pengangguran dalam negara.

"Bagi isu pekerja asing ini, kita bersetuju membenarkan pengambilan tenaga kerja asing untuk sektor perladangan dahulu. Kita kena lihat keadaan semasa virus Covid-19, juga sama ada prosedur operasi standard (SOP) itu dipatuhi sepenuhnya atau tidak.

"Ada juga pekerja asing dari beberapa negara yang menggunakan sijil vaksin palsu. Jadi ini kita kena pantau sama ada mereka masuk dengan sijil vaksin yang sah atau tidak.

"Sebagai Menteri Sumber Manusia, saya perlu meneliti dan memperhalusi keadaan sebenar. Tambahan pula dalam keadaan Covid-19 semua negara tutup sempadan. Bagaimana mahu membawa masuk pekerja asing, tak kan dari langit atau 'magik'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ansonex Tapah di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang menuding jari terhadap Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu kenaikan harga barang mentah seperti sayuran.

Koo Ham menuduh kedua-dua kementerian itu sebagai punca utama kekurangan sumber tenaga kerja asing yang menyebabkan harga sayur dan barangan asas lain naik dua kali ganda.

Sementara itu, Saravanan berkata, kekurangan tenaga kerja memang berlaku dalam sektor pengeluaran ketika ini iaitu sebanyak 25 peratus, namun ia bukan faktor utama mempengaruhi kenaikan harga barang.

Artikel Berkaitan:

Saravanan
Saravanan

Katanya, terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada kenaikan tersebut, termasuk campur tangan orang tengah serta individu luar yang ingin menjual produk mereka ke pasaran luar demi mengejar keuntungan lebih.

"Apa yang beliau (Koo Ham) katakan itu ada yang betul, ada tak betul. Namun sebagai kerajaan, kita sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengawal keadaan ini," jelas beliau.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam laporan media pada Rabu berkata, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa membawa pekerja asing masuk ke negara ini, sebaliknya memerlukan persediaan rapi termasuk mengambil kira faktor keselamatan kesihatan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan kemasukan kira-kira 32,000 tenaga buruh asing ke Malaysia untuk sektor perladangan susulan pembukaan semula sempadan negara.

Bagaimanapun, kemasukan pekerja asing seterusnya dari negara sumber akan ditentukan kemudian bersandarkan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).