PGA gagalkan cubaan seludup 100 tan kelapa ke negara jiran

Mat Shukor (kiri) menunjukkan kejayaan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menggagalkan cubaan menyeludup keluar 100 tan kelapa ke negara jiran bernilai RM160,000 selepas menahan tiga treler dalam dua serbuan berasingan di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Mat Shukor (kiri) menunjukkan kejayaan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menggagalkan cubaan menyeludup keluar 100 tan kelapa ke negara jiran bernilai RM160,000 selepas menahan tiga treler dalam dua serbuan berasingan di Pengkalan Kubor, Tumpat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa menggagalkan cubaan menyeludup keluar 100 tan kelapa ke negara jiran bernilai RM160,000 dalam dua serbuan berasingan di Pengkalan Kubor, Tumpat di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, tiga pemandu treler berusia 28 hingga 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama, sepasukan anggota melihat sebuah treler berada di hadapan kawasan pangkalan haram ketika melakukan rondaan di Kampung Simpangan, Tumpat

"Anggota PGA bertindak menahan kenderaan berat tersebut untuk pemeriksaan dan mendapati ada muatan sebanyak 30 tan kelapa yang sudah dikupas.

"Hasil soal siasat awal, pemandu treler mengaku muatan kelapa itu dibawa dari Johor. Kita tidak menolak kemungkinan ia akan diturunkan di pangkalan haram Simpangan untuk diseludup ke negara jiran," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal Lubok Stol, di sini pada Khamis.

Menurutnya, serbuan kedua menahan dua buah treler di Kampung Bunohan, di sini selepas melihat kelibat kenderaan berat itu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut di dalam treler menemui 70 tan kelapa dan kedua-dua pemandu itu gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan barangan yang dibawa.

"Ini merupakan rampasan pertama membabitkan kelapa sepanjang penugasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM1.32 juta," katanya.