Kubur di Kampung Ganchong Hulu diancam hakisan

Kawasan tanah perkuburan itu semakin sempit dan berbaki dua meter daripada Sungai Pahang.
Kawasan tanah perkuburan itu semakin sempit dan berbaki dua meter daripada Sungai Pahang.
A
A
A

PEKAN - Penduduk di Kampung Ganchong Hulu di sini bimbang berikutan tanah perkuburan di kawasan mereka diancam hakisan Sungai Pahang sejak tiga tahun lalu.

Kawasan tanah perkuburan berhampiran Sungai Pahang itu sudah hampir 10 meter mengalami hakisan dan boleh menjejaskan tanah perkuburan berkenaan.

Pengerusi Masjid Besar Ganchong Hulu, Mohd Nor Azmi Nordin berkata, kawasan tanah perkuburan itu masih berbaki dua meter dari Sungai Pahang dan mungkin akan berlaku hakisan tebing ketika berdepan dengan Monsun Timur Laut.

"Kita bimbang berapa lama tanah perkuburan ini boleh bertahan akibat aliran sungai dan hujan yang tidak menentu.

"Jika dibiarkan akan menjadi bertambah buruk. Kalau dulu Sungai Pahang jauh ke depan tetapi kini semakin hampir dengan tanah perkuburan," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Kampung Ganchong Hulu pada Khamis.

Mohd Nor menunjukkan aliran Sungai Pahang yang hampir 10 meter dari kawasan tanah perkuburan sebelum ini sudah terhakis dalam tempoh tiga tahun. (Gambar kecil: Mohd Nor)
Mohd Nor menunjukkan aliran Sungai Pahang yang hampir 10 meter dari kawasan tanah perkuburan sebelum ini sudah terhakis dalam tempoh tiga tahun. (Gambar kecil: Mohd Nor)

Beliau juga meminta pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah hakisan tebing di tanah perkuburan dengan membina benteng batu atau mengalihkan jenazah itu ke tanah perkuburan lain.

"Tindakan atau langkah yang mahu diambil itu terpulang kepada pihak berkaitan dan penduduk menerima keputusannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk, Mohd Hamdan Abd Rahim, 62, berkata, masalah itu berlaku sejak beberapa tahun lalu dan kini hakisan tebing sungai semakin kritikal.

Katanya, penduduk bimbang jika keadaan akan bertambah buruk dan jenazah yang disemadikan mungkin akan hanyut dibawa arus susulan berlaku hakisan yang teruk.

Menurutnya, walaupun setakat ini masih belum ada kejadian sedemikian, namun masalah berkenaan perlu ditangani segera.

"Tahun ini, saya jangka hujan lebih kerap dan kawasan tanah kubur ini akan terus terhakis menyebabkan lokasi ini tidak boleh digunakan lagi untuk urusan pengebumian," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Hamdan mahu pihak berkaitan mengambil perhatian dan segera membantu menyelesaikan masalah berkenaan.