Waspada tragedi musim tengkujuh

Yahaya (tengah) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang penganjur bersama Program Derma Darah Bomba Prihatin Peringkat Negeri Johor di Hotel KSL City, Johor Bahru pada Khamis
Yahaya (tengah) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang penganjur bersama Program Derma Darah Bomba Prihatin Peringkat Negeri Johor di Hotel KSL City, Johor Bahru pada Khamis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memberi ingatan kepada orang awam agar sentiasa berwaspada serta menjauhkan diri dengan sebarang aktiviti air ketika perairan negara kini berdepan dengan musim tengkujuh.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, ia berikutan situasi penghujung tahun seperti ini sebahagian besar keluarga di negara akan memilih lokasi peranginan di kawasan pantai sebagai pilihan untuk bercuti.

“Apabila tiba hujung tahun seperti ini, kebiasaannya ada dua musim iaitu musim cuti sekolah dan musim tengkujuh, jadi saya ingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dan tidak sewenangnya mengambil mudah perkara ini.

“Kita tidak mahu berlaku perkara tidak diingini terutama kejadian lemas, setakat ini sejak Januari, kita telah menerima sebanyak 19 kes yang mana sembilan kes adalah melibatkan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Derma Darah Bomba Prihatin Peringkat Negeri Johor di Hotel KSL City di sini pada Khamis.

Yahaya berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa lokasi tumpuan awam di seluruh negeri ini yang sering kali terbabit dengan kejadian dan insiden lemas.

“Kita kenal pasti beberapa kawasan yang mana kita telah pasang tanda amaran seperti di kawasan pantai khususnya di Pantai Batu Layar (Kota Tinggi), Pantai Punggai (Kota Tinggi), di perairan Desaru dan Mersing.

“Selain itu, kita juga bersedia di kawasan-kawasan lain yang turut menjadi tumpuan awam seperti di Tasik Seri Alam (Pasir Gudang) memandangkan baru-baru ini juga terjadi satu kes kematian lemas melibatkan seorang mangsa di sana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, anggota dan aset JBPM negeri juga telah bersiap sedia untuk digerakkan bagi menghadapi kejadian banjir yang sering kali berlaku pada musim tengkujuh.

“Untuk tahun ini, kita juga ada tiga aset tambahan iaitu bot ringan yang lebih sesuai untuk digerakkan sekiranya berlaku kejadian banjir. Bot-bot ini kita tempatkan di Kluang, Skudai (Johor Bahru) dan Iskandar Puteri.

“Cabaran utama kita sekarang adalah kejadian banjir kilat, justeru saya ingin menyeru kepada orang awam untuk sentiasa mematuhi arahan agensi penyelamat, jika diminta keluar terus keluar, jangan biar air dan naik terlalu tinggi baru minta bantuan,” katanya.