TMJ anggap kekalahan Piala Malaysia 'wake-up call'

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A
KUALA LUMPUR- Kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dua hari lalu disifatkan pemiliknya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, sebagai wake-up call (peringatan) untuk bangkit menjadi pasukan yang lebih baik pada musim akan datang.

Juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu bakal kembali berbelanja dan mempergiatkan persiapan pra musim mereka dengan menjalani latihan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad.

"Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. Ia akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan.

"Saya anggap kekalahan adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini," katanya dalam kemas kini di akaun media sosial Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail juga merakamkan ucapan terima kasih buat penyokong dan pemain serta barisan kejurulatihan pasukan itu yang mencipta sejarah sebagai satu-satunya kelab yang memenangi kejuaraan liga lapan musim berturut-turut dan layak ke AFC Champions League (ACL).

"Saya baru ingat hendak berehat daripada terbabit dalam bola sepak tahun depan. Tapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat.

"Seperti yang saya pernah katakan a wounded Tiger is always eager to bounce back (harimau yang luka akan kembali mengaum)," tulis Tunku Ismail.- Awani

Artikel Berkaitan: