Harga barang naik, KPDNHEP beri tempoh sebulan selesaikan

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi tempoh sebulan untuk mencari penyelesaian secara menyeluruh dan berterusan bagi menangani isu kenaikan harga barangan dan makanan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi penyelesaian jangka masa pendek, kementerian memperkenalkan program Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan program itu di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara secara berperingkat.

“Buat masa ini kementerian mencadangkan program ini dibuat dua kali sebulan, tapi ada permintaan supaya dibuat lebih kerap. Jualan Keluarga Malaysia ini adalah langkah jangka pendek supaya pengguna boleh pergi ke tempat seperti ini membeli dengan harga yang lebih kurang daripada pasaran yang dikatakan tinggi.

“Kita juga perlu melihat bagaimana untuk menangani masalah ini (kenaikan harga) untuk jangka panjang. Kita risau juga kalau kita tidak ada perancangan yang lebih menjurus kepada penyelesaian jangka panjang takut ini (kenaikan harga) boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya dalam temu bual program Selamat Pagi Malaysia di TV1 yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari KPDNHEP pada Khamis.

Program Jualan Keluarga Malaysia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini, pada jam 5 petang ini.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, kenaikan harga barangan dan makanan disebabkan beberapa faktor antaranya aktiviti perniagaan seperti restoran dan kedai makan yang mula beroperasi sepenuhnya selepas kelonggaran diberikan kerajaan yang menyebabkan permintaan barangan asas meningkat secara mendadak.

“Begitu juga faktor keluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang yang kurang kerana lazimnya hujung tahun musim tengkujuh dan industri itu kekurangan tenaga buruh asing yang telah memberi kesan kepada aktiviti pengeluaran untuk menampungnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga difahamkan ada sayur-sayuran yang diimport dari negara asing, tapi apabila diimport dari negara asalnya harganya sudah tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata, KPDNHEP mengalu-alukan individu yang kehilangan kerja atau perniagaan berikutan pandemik Covid-19 supaya menceburi industri francais.

Beliau berkata potensi industri itu amat besar kerana berasaskan perniagaan yang sudah sedia ada dan mudah untuk memulakannya selain mempunyai pasaran yang luas.

“...untuk membuka cawangan (francais) contohnya, kita (KPDNHEP) boleh bantu, kerana kita telah diberikan peruntukan dalam bajet untuk mengembangkan francais,” katanya. -Bernama