Najib dakwa Mat Sabu tidak mahu mengalah

A
A

1. Najib dakwa Mat Sabu tidak mahu mengalah

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tetap tidak mahu mengalah dalam isu penjualan isu Hotel Royale Chulan, meskipun pendedahan yang dilakukan beliau sebelum ini ternyata sahih.

Malah, menurut Ahli Parlimen Pekan itu, setiap kali belaiu membuat pendedahan mengenai penjualan hotel milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ia dijawab dengan alas an yang tidak munasabah.

Dalam pada itu, Najib secara sinis turut mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan suka melakukan perkara sia-sia dengan menjadikan jualan harta bernilai ratusan juta sebagai permainan.

Terdahulu, Najib menerusi laman Facebooknya mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Pertahanan berhubung isu penjualan Hotel Royal Chulan di Bukit Bintang milik LTAT Boustead Holdings Berhad yang masih belum dimuktamadkan.

2. Peguam Najib mohon akses sama bagi dokumen kes SRC

Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak memohon untuk mendapatkan dokumen dan kenyataan daripada pihak pendakwa, berkaitan tujuh pertuduhan berkenaan SRC International.

Peguam Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Rayuan di Putrajaya, bahawa pihak pendakwa "sebaiknya dan perlu" menyerahkan dokumen berkaitan kepada mahkamah dan pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Ini terutama kerana pihak pembelaan perlu menyerahkan dokumennya, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berhadapan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta daripada SRC, syarikat milik kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB.

3. Isu LGBT: Rawat dari sudut psikologi, kerohanian

Cara rasional dan terbaik untuk menghadapi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ialah dengan memberi rawatan dari sudut psikologi dan kerohanian.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berkata, rawatan itu penting agar golongan tersebut dapat dikembalikan semula kepada fitrah asal kejadian manusia yang normal.

‘Mereka mesti disedarkan bahawa gaya hidup dan pembawaan mereka tidak akan membahagiakan mereka sendiri, malah akan mengheret mereka ke dalam kemelut kehidupan yang tidak berpenghujung’, katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, perarakan dan tuntutan peserta perhimpunan LGBT, itu bertentangan dengan polisi kerajaan, bahkan bertentangan dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

4. Bukit Malut hampir ditenggelami lautan sampah

Bukit Malut di Langkawi, Kedah, sekali lagi berdepan episod baharu yang juga berkait dengan kebersihan iaitu sampah.

Ibarat tiada 'kunjungan' penguatkuasa ke sana, Bukit Malut yang terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuah, hampir 'ditenggelami' sampah, apabila sisa buangan itu langsung tidak diuruskan dengan baik.

Bahkan menurut penduduk, tong sampah yang dibekalkan 'hanya sekadar ada'.

Hanya ada dua tong sampah di hujung jalan besar, yang jika dihitung saiz tong sampah itu, tidak cukup untuk menampung jumlah penduduk yang sedia ada.

Menurut Ketua Kampung Kampung Datuk Haji Hassan Bulat, Ishak Hassan, isu sampah di Bukit Malut ini bukan sesuatu yang baharu.

Penduduk juga meminta pihak berkaitan terutamanya Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) mengambil tindakan segara untuk selesaikan masalah mereka.

Sementara itu Yang Dipertua MPLBP, Abdul Bari Abdullah menjelaskan perkhidmatan menyelia dan mengurus sampah di kawasan Bukit Malut adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal.

5. Apple mengesahkan acara khas pada 25 Mac ini

Syarikat teknologi Apple mengesahkan akan mengadakan satu acara khas 25 Mac ini.

Acara tersebut dilaporkan bakal membuat pengumuman berkaitan perkhidmatan penstriman TV dan perkhidmatan langganan Apple News terbaru.

Menurut laporan The Verge, animasi GIF yang menunjukkan kira turun atau 'countdown' dengan memberitahu masanya untuk pertunjukan atau 'it's showtime' dijangkakan untuk mengumumkan perkhidmatan terbaru mereka.

Sebelum ini, Apple pernah menggunakan slogan iklan sama pada 2006 yang mengumumkan perkhidmatan tayangan filem melalui itunes dan pengumuman Apple TV yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai iTV pada 2007.

Malah, ada antara pemerhati teknologi mula bercakap tentang Apple bakal memperkenalkan perkhidmatan langganan berita sama seperti konsep langganan yang ditawarkan Netflix tahun ini.