2,000 penduduk Kedah kerja di Pulau Pinang setiap tahun

Ramasamy
Ramasamy
A
A
A

GEORGETOWN- Purata rakyat Kedah yang berhijrah ke Pulau Pinang bagi tempoh enam tahun iaitu 2014 hingga 2020 adalah seramai 3,500 orang.

Daripada jumlah itu, 2,000 penduduk Kedah dilaporkan bekerja atau melibatkan diri dalam sektor tenaga buruh di Pulau Pinang setahun.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, bagaimanapun, jumlah sebenar dianggarkan lebih tinggi daripada jumlah itu kerana ramai penduduk Kedah yang hanya bekerja tetapi tidak menetap di Pulau Pinang.

"Jumlah sebenar mereka dari Kedah yang bekerja di Pulau Pinang dianggarkan lebih tinggi kerana mereka berulang alik setiap hari, dan tidak menetap di sini.

"Mengikut analisis dari Penang Institute, migrain dari Kedah ke Pulau Pinang telah menunjukkan penurunan dari tempoh 2014 hingga 2018. Bagaimanapun, jumlah migran dari negeri utara iaitu Kedah, Perak dan Perlis agak stabil iaitu kira-kira 7,550 orang setahun.

"Daripada jumlah itu, 4,300 adalah tenaga buruh (setahun) bagi tempoh sama iaitu 2014 hingga 2018," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.

Ramasamy (DAP-Perai) berkata demikian ketika menjawab soalan M Satees (DAP- Bagan Dalam) mengenai jumlah rakyat Kedah yang bekerja di Pulau Pinang terutamanya dalam sektor swasta.

Katanya, dilaporkan berlaku penurunan bilangan migran sebanyak 35 peratus iaitu daripada 6,500 orang pada 2018 ke 4,200 pada 2020.

Artikel Berkaitan:

"Penurunan ini besar kemungkinan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

"Oleh itu, dianggarkan hanya 2,500 orang tenaga buruh dari negeri luar ke Pulau Pinang bagi tahun 2020," katanya.