49 perancangan kebajikan untuk OKU, warga emas Kelantan

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri merangka 49 perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk membantu kebajikan golongan warga emas, wanita dan orang kelainan upaya (OKU) dalam situasi penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi memaklumkan perkara tersebut semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) (Belanjawan) di Kompleks Kota Darulnaim pada Khamis.

Menurutnya, mengikut perincian, sebanyak 27 perancangan dirangka untuk golongan OKU manakala 14 perancangan pula bagi kebajikan golongan wanita serta lapan perancangan untuk golongan warga emas.

"Sebanyak sembilan perancangan jangka masa pendek dan 18 perancangan jangka masa panjang bagi golongan OKU telah dirancang melibatkan agihan bakul makanan, Caruman Skim Takaful Rahmah kepada OKU terlantar dan Majlis Penasihat OKU Negeri Kelantan.

"Bagi kebajikan golongan warga emas pula, sebanyak tiga perancangan jangka masa pendek dan lima perancangan jangka masa panjang antaranya program di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Penggubalan Dasar Warga Emas Mukramun Negeri Kelantan," katanya.

Beliau menjawab soalan diajukan Mohd Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) mengenai apakah perancangan masa pendek dan panjang dalam memastikan kebajikan golongan warga emas, wanita dan OKU terus terjaga dalam era pandemik kini.

Mengulas lanjut, katanya, untuk golongan wanita pula, pihaknya telah merancang tujuh perancangan jangka masa pendek dan tujuh perancangan jangka masa panjang seperti karnival Kerjaya dan Usahawan Jabatan Pembangunan Wanita dan Skim Halimatul Saadiah.

Selain itu, Mumtaz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu juga memberitahu, jumlah perbelanjaan Skim Khairat Kifaalah bagi tahun 2021 setakat ini adalah 4.1 juta yang dimanfaatkan kepada 4,115 orang penerima.

Artikel Berkaitan: