1,898 ekor haiwan terbiar ditangkap di Selangor

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 1,898 ekor binatang liar meliputi anjing liar, monyet, kera dan babi hutan ditangkap menerusi Operasi Tangkapan Haiwan Terbiar di Selangor setakat Oktober ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 1,817 ekor anjing, 75 ekor monyet dan kera, serta enam ekor babi hutan ditangkap dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, Unit Kawalan Vektor dan Haiwan Terbiar dari Jabatan Kesihatan dan Persekitaran menyediakan 23 buah perangkap monyet bagi mengurangkan isu haiwan terbiar seperti kacau ganggu monyet dan kera.

Loy Sian berkata, ia diletakkan di setiap zon dengan kerjasama ahli majlis, pengerusi atau ketua kampung dan Jabatan Perhilitan.

"Selain itu, bagi isu anjing terbiar, penangkapan dijalankan setiap hari mengikut aduan yang diterima.

"Jika aduan adalah dalam kawasan perkampungan, beberapa perangkap akan diletakkan dengan kerjasama daripada ketua kampung berkaitan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Dalam pada itu, Loy Sian turut memaklumkan tentang kaedah penangkapan babi hutan, yang mana pihak Jabatan Perhilitan mewujudkan perangkap 'multi trapper' yang diletakkan di kawasan aduan.

"Hasil tangkapan akan dipanjangkan ke Jabatan Perhilitan bagi membendung kacau ganggu haiwan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: