KUIPSAS kini bertaraf UnIPSAS

Wan Rosdy (duduk, tengah) bersama Mohd Zawavi (berdiri, kiri),Salehuddin (duduk, kiri) dan Syed Ibrahim (duduk, kanan) memegang logo baharu UnIPSAS di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.
Wan Rosdy (duduk, tengah) bersama Mohd Zawavi (berdiri, kiri),Salehuddin (duduk, kiri) dan Syed Ibrahim (duduk, kanan) memegang logo baharu UnIPSAS di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.
A
A
A

BENTONG- Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai universiti Islam pertama di Pahang dan pantai timur Semenanjung selepas dinaik taraf sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) bermula Rabu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendaftaran UnIPSAS secara rasmi sebagai sebuah universiti penuh adalah kejayaan semua pihak di Pahang.

Menurutnya, pendaftaran UnIPSAS secara rasmi pada Rabu lebih bermakna sejajar sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25 tahun ini.

"UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam perkembangan semasa sektor pengajian tinggi di Malaysia melalui hala tuju yang jelas iaitu menyumbang kepada sasaran 70 peratus enrolmen pendidikan tinggi negara.

"Ia juga boleh menyumbang sasaran lapan peratus kadar enrolmen sarjana dan doktor falsafah pada tahun 2025," katanya yang juga Pro Canselor UnIPSAS.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Majlis Perbandaran Bentong, di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong terima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Kanan Pendidikan

Hadir sama, Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Madya Dr Zawavi Zainal Abidin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menyifatkan Institusi Diraja Pahang memainkan peranan yang sangat signifikan sejak awal penubuhan Kolej Islam Pahang pada 1996.

Artikel Berkaitan:

"Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al-Mu'adzam Shah sangat mengambil berat perkembangan institusi pengajian tinggi ini dan telah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS pertama pada 2016.

"Kini Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang kedua pada 2019," ujarnya.

Wan Rosdy berkata, komitmen kerajaan negeri juga telah menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam semua aspek.

"Penyaluran geran tahunan telah dimanfaatkan sepenuhnya selain dalam masa sama, kerajaan negeri terlibat secara langsung untuk menentukan hala tuju UnIPSAS dari semasa ke semasa melalui anak syarikatnya, Sistem Pendidikan Islam Pahang Pahang Sdn Bhd," tambahnya.

Beliau juga menjelaskan buat masa ini UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian untuk peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Ujarnya, kesemua program pengajian ditawarkan dalam tiga fakulti pengajian iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik dan Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi.

"Beberapa lagi program pengajian baharu pada peringkat ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda akan mula ditawarkan tidak lama lama lagi selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," jelasnya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Istana Negara bagi mempersembahkan Watikah Perakuan Naik Taraf Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai UnIPSAS.