Ringgit terus susut berbanding dolar AS sewaktu dibuka

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT terus merosot berbanding dolar AS sewaktu dibuka pada Khamis berikutan mata wang negara maju itu terus mengukuh di tengah-tengah gesaan kepada aset selamat.

Ia sebagai reaksi terhadap kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell yang cenderung menaikkan kadar faedah, menggambarkan kesimpulan yang lebih cepat mengenai proses mengurangkan aset Fed, kata peniaga.

Pada jam 9.06 pagi, mata wang tempatan berkurangan kepada 4.2230/2275 berbanding dolar AS daripada 4.2180/2210 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS terus mendapat tarikan malam tadi berikutan pendirian Fed yang cenderung menaikkan kadar faedah terhadap inflasi, yang kemudiannya disifatkan bahawa bank pusat Amerika Syarikat (AS) akan meningkatkan kadar faedahnya tidak lama lagi.

Selain itu, penemuan varian Omicron Covid-19 di AS turut menunjukkan risiko wujudnya kawalan pergerakan yang menandakan tahap pemulihan ekonomi akan terjejas, katanya.

Mengenai data ekonomi, beliau berkata, Indeks Pembuatan ISM AS terus menokok kepada 61.1 mata pada November, manakala Perubahan Pekerjaan ADP meningkat kepada 534,000, menunjukkan pasaran buruh dalam keadaan yang baik.

“Justeru, nampaknya sentimen mengelak risiko telah menjadi semakin ketara yang membawa kepada permintaan yang lebih tinggi terhadap mata wang selamat iaitu dolar AS. Oleh itu, Indeks dolar AS (DXY) turut melebihi 96 mata.

“Sehubungan itu, ringgit mungkin kekal lemah pada Khamis pada sekitar RM4.22,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain sewaktu dibuka, kecuali berbanding dolar Singapura.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6073/6133 daripada 5.6158/6198 sewaktu ditutup pada Rabu dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0931/0966 daripada 3.0933/0957 semalam.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.7392/7435 daripada 3.7173/7203 pada Rabu dan jatuh berbanding euro kepada 4.7796/7847 daripada 4.7773/7807 sebelum ini. - Bernama