Gabungan PKR, Amanah lebih banyak keburukan

Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu
Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu
A
A
A

CADANGAN menggabungkan dua parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat lebih banyak mendatangkan keburukan kepada Pakatan Harapan (PH).

Hal yang demikian adalah kerana belum tentu penggabungan kedua-dua parti itu dapat membantu PH untuk memenangi hati pengundi Melayu.

Apa yang diperlukan oleh PH adalah menarik parti seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ke dalam gabungan itu kerana Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi berpengaruh dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Pada masa sama, pengaruh Dr Mahathir semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) juga menyebabkan ramai dalam kalangan orang Melayu mengundi PH.

Oleh yang demikian, bagi menarik Pejuang ke dalam PH, ‘orang tengah’ diperlukan untuk mendamaikan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

Jika itu dapat dilakukan, tidak mustahil PH boleh memenangi PRU15 yang akan datang.

Selain itu, jika dilakukan penggabungan membabitkan PKR dan Amanah, kemungkinan besar ia tidak akan diterima oleh penyokong kedua-dua parti.

Besar kemungkinan juga, jika penggabungan ini menjadi realiti, maka akan wujudnya puak-puak atau ‘kartel’ yang sinonim dengan PKR.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, usaha seumpama ini sebenarnya bukan menyelesaikan masalah tetapi menambah lebih banyak masalah kepada gabungan itu.

Anwar sebelum ini dilapor menyatakan bahawa cadangan untuk menggabungkan PKR dan Amanah sudah dikemukakan, namun masih belum dibincangkan.

Perkara itu dibangkitkan selepas seorang penganalisis politik, Wong Chin Huat sebelum ini mencadangkan penggabungan antara kedua-dua parti itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini yang menyaksikan PKR gagal memenangi sebarang kerusi daripada 11 kerusi yang ditandinginya.

Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya berkenaan apabila berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi.

PH pula hanya memenangi lima kerusi berbanding 13 kerusi yang diperolehnya pada PRU14.

Selain Chin Huat, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi juga mengatakan bahawa PKR dan Amanah perlu mempertimbangkan cadangan penggabungan berkenaan bagi membantu PH memenangi lebih banyak undi Melayu.

Katanya, penggabungan itu juga akan menyelesaikan isu pengagihan kerusi antara kedua-dua parti, selain mengukuhkan PKR susulan Langkah Sheraton tahun lalu.