MCA masih perlu UMNO

No Image Caption
A
A
A

DEMI memastikan pengaruhnya terus berada dalam aliran utama politik negara, MCA dilihat masih perlukan UMNO sebagai rakan seperjuangan.

Menurut penganalisis politik, Tan Ah Chai, selepas berubah daripada sebuah parti pemerintah kepada pembangkang, pendirian MCA bagaimanapun tetap sama, iaitu masih berminat untuk setia dalam BN.

“MCA pada hari ini masih mengamalkan sikap yang konsisten iaitu tidak berminat menubuhkan parti baharu bersama MIC ataupun melupakan UMNO.

“Walaupun sebelum ini pucuk pimpinan MCA begitu lantang ingin membubarkan BN, namun akhirnya hasrat mereka itu terkubur begitu sahaja,” katanya seperti dipetik dalam China Press.

Menurutnya, kehadiran Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam mesyuarat BN baru-baru ini, adalah semata-mata untuk menghantar mesej iaitu tidak berpuas hati dengan kenyataan bersifat perkauman dilemparkan oleh beberapa pemimpin UMNO.

“Masalah utama MCA sekarang ialah sama ada mahu berpisah dengan UMNO atau tidak, tapi nampaknya sehingga hari ini, MCA tidak menyatakan mahu meninggalkan UMNO.

“Kesimpulan daripada mesyuarat majlis tertinggi BN baru-baru ini adalah jelas bahawa semua parti dalam komponen BN masih saling perlu antara satu dengan lain, dengan setiap parti boleh memainkan peranan tersendiri,” katanya.

Beliau berpendapat, semua parti komponen dalam BN perlu bergabung tenaga untuk menunjukkan kekuatan mereka sebenar.

Artikel Berkaitan:

“Tidak kiralah UMNO, MCA ataupun MIC, mereka semua perlu bersikap rendah diri sekiranya mahu merampas semula tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan,” katanya, yang percaya BN tidak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon meminta akar umbi MCA jangan terlalu gelabah mengenai kedudukan parti ketika ini, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan yang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

Menurut Hang Soon, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti akan berbincang mengenai perkembangan terbaru ini selepas mesyuarat BN menolak cadangan pembubaran BN yang dibuat oleh MCA.

“Semua pemimpin parti ada bersama ahli-ahli di seluruh negara. Semua ahli dibenarkan memberikan pandangan masing-masing, tetapi kenyataan mereka jangan terlalu melampau sehingga menghalang usaha dilakukan parti,” katanya seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Beliau mengakui agak terkejut dengan keputusan berubah-ubah yang ditunjukkan pemimpin MIC sejak beberapa hari lalu.

Hang Soon yakin, MCA mampu mencari jalan sesuai untuk dilalui mereka kerana inilah keputusan perlu diambil sebelum menjelang tiba PRU15.

Difahamkan, sejak kebelakangan ini, sudah ada suara-suara dalam kalangan akar umbi MCA menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti kerana tidak mengambil pendirian tegas dan jelas mengenai kedudukan mereka dalam BN.

Isu ini kemudian diperbesarkan lagi apabila kenyataan dibuat oleh bekas Presiden MCA, Tan Sri Chua Soi Lek bahawa parti itu akan ‘mati’ lebih cepat sekiranya terus bersama BN ketika UMNO bekerjasama dengan Pas.

Kata Soi Lek, masyarakat Cina bukannya menolak Islam, sebaliknya bermasalah dengan Pas yang disifatkannya sombong, tidak menghormati sensitiviti dan sering mengeluarkan kenyataan menggores hati orang lain.

Sebaliknya, beliau berkata, MCA perlu meninggalkan BN dengan secepat yang mungkin kerana sokongan diterima parti itu semakin merosot bermula daripada PRU12 hinggalah PRU14, yang hanya memenangi satu kerusi Parlimen sahaja.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MCA dijangka mengadakan mesyuarat pada 17 Mac ini di Wisma MCA, Kuala Lumpur.