X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

‘Orang muda perlu popular kalau mahu pegang jawatan tinggi’

Generasi muda perlu lebih kompetitif dan mempunyai idea yang boleh diterima setiap ahli sekiranya mahu diangkat memegang jawatan tinggi dalam sesebuah parti di negara ini. -Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Awang Azman)
A
A

SHAH ALAM - Generasi muda perlu lebih kompetitif dan mempunyai idea yang boleh diterima setiap ahli sekiranya mahu diangkat memegang jawatan tinggi dalam sesebuah parti di negara ini.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sistem parti tidak mengutamakan pemimpin yang lebih senior dengan ruang untuk generasi muda terbuka luas.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan oleh generasi muda adalah memastikan diri mereka mempunyai pengaruh secukupnya, selain dapat tampil menunjukkan keupayaan dengan idea dan pemikiran tersendiri untuk membawa perubahan dalam parti.

“Dalam politik ini, dunia demokrasi tidak mengira seseorang itu paling muda, muda, sederhana muda, dewasa atau sudah berumur. Jika seseorang itu disokong oleh ahli parti, maka mereka akan naik.

“Soalnya, demokrasi dan bagaimana orang muda nak ‘melanggar’ demokrasi itu sekiranya dia sendiri tidak popular dan tidak diterima oleh ahli parti.

“Mereka (orang muda) perlu membina jaringan dan memastikan idea, pemikiran, sikap dan tingkah laku itu diterima oleh orang ramai terutama akar umbi parti,” katanya.

Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak dalam rancangan bual bicara ‘Eksklusif Bersama Nazir Razak: Apa Ada Dengan Nama Nazir Razak’ sebelum ini menyifatkan orang muda kurang diberikan peluang untuk memegang jawatan penting dalam parti kerana lebih didominasi pemimpin senior.

Mengulas lanjut, Awang Azman percaya peranan orang muda amat penting dalam sesuatu parti kerana akan membawa perubahan lebih segar dan keseimbangan dalam landskap politik negara.

“Jika orang muda dapat berada dalam jawatan tertinggi parti, peranan mereka cukup penting dalam memberikan keseimbangan dan idealisme generasi muda untuk seluruh masyarakat.

“Namun, jika mereka ditolak oleh parti, mereka perlu muhasabah dan memperbaiki diri supaya pada masa depan, mereka dapat diterima dalam parti.

“Contohnya, seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas dalam pertandingan Presiden UMNO walaupun beliau seseorang yang cukup senior. Ia kerana beliau kurang daripada segi pengaruh, pemikiran dan idea,” jelas Awang Azman.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!