Pasarkan 100kg daging arnab sebulan

Jamelludin (kanan) dan Mohd Amir menunjukkan antara sangkar yang menempatkan arnab di kandang mereka di Kampung Seberang Balok di sini.
Jamelludin (kanan) dan Mohd Amir menunjukkan antara sangkar yang menempatkan arnab di kandang mereka di Kampung Seberang Balok di sini.
A
A
A

KUANTAN - Bermula sekadar suka-suka dengan membela enam ekor arnab di kawasan rumah namun minat itu kini berkembang menjadi perniagaan sehingga membawa pulangan lumayan.

Melihat kepada potensi dan permintaan terhadap daging dan produk makanan berasaskan daging arnab yang tinggi mendorong Jamelludin Mahadi, 40 mengembangkan projek ternakan arnab itu.

Dia bersama empat rakan, Mohd Amir Ishak, 42, Ramli Ab Rahman dan Mohd Rozi Abdul Rahman mengambil langkah berani bergabung modal untuk memulakan projek ternakan itu walaupun tanpa ilmu dan pengalaman pada awalnya.

Projek ternakan arnab pedaging yang diusahakan di bawah syarikat Sinar Bumitech Sdn Bhd bermula Disember 2020 terus berkembang.

Jamelludin berkata, kini terdapat 500 ekor arnab di kandang yang diusahakan di Kampung Seberang Balok di sini.

Menurutnya, selain baka arnab pedaging tempatan, mereka turut mempunyai induk jenis Hycole Hibrid dari Perancis yang mampu mencapai berat 7.5 kilogram.

Keadaan kandang yang sentiasa dalam keadaan bersih bagi memastikan arnab yang diternak membesar dalam keadaan sihat.
Keadaan kandang yang sentiasa dalam keadaan bersih bagi memastikan arnab yang diternak membesar dalam keadaan sihat.

“Selain menyediakan bekalan daging segar, syarikat ini turut menjual induk, arnab peliharaan, produk berasaskan arnab dan aksesori termasuk sangkar jika ada permintaan.

Artikel Berkaitan:

“Antara produk sedia dimasak yang dikeluarkan termasuk daging arnab perap, sate dan rendang yang dipasarkan melalui agen yang dilantik,” katanya.

Jelasnya harga bagi daging arnab segar yang siap dipotong dan dibungkus antara RM35 hingga RM38 sekilogram manakala daging perap berharga RM35 untuk setengah kilogram.

“Berdasarkan hasil jualan setakat ini, kami mampu memasarkan kira-kira 100 kilogram (kg) sebulan termasuk daging segar dan produk siap dimasak,” katanya.

Menurutnya,syarikat Sinar Bumitech kini mempunyai dua kandang termasuk satu baru siap dibina yang mampu menempatkan 3,000 ekor arnab pada satu-satu masa.

Jamelludin (kiri) dan Mohd Amir menunjukkan arnab baka Hycole Hibrid dari Perancis yang mampu mencapai berat sehingga 7.5 kilogram.
Jamelludin (kiri) dan Mohd Amir menunjukkan arnab baka Hycole Hibrid dari Perancis yang mampu mencapai berat sehingga 7.5 kilogram.

“Kita jangkakan sasaran 3,000 ekor arnab itu mampu dicapai menjelang pertengahan tahun hadapan,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini permintaan diterima dari penggemar daging arnab sekitar Kuantan dan luar cukup menggalakkan namun bekalan yang sedia ada masih tidak mampu menampung permintaan sepenuhnya.

“Jadi kami ambil keputusan untuk menambah bekalan secara berperingkat.

“Pada masa sama, kami sedang dalam proses pembiakan baka Hycole Hibrid Perancis yang mampu mencapai tempoh matang hanya dua bulan berbanding tiga bulan bagi baka tempatan,” katanya.

Produk daging arnab perap keluaran Sinar Bumitech Sdn Bhd.
Produk daging arnab perap keluaran Sinar Bumitech Sdn Bhd.

Jelasnya, usaha itu memerlukan modal agak besar kerana harga seekor arnab baka berkenaan hampir RM1,000.

“Justeru amat berharap sekiranya ada bantuan daripada pihak kerajaan untuk kembangkan lagi ternakan arnab ini dan merancang membuka restoran pada masa akan datang,” katanya.