X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Harimau Selatan terperangkap taktikal City Boys

Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi cuba melepasi asakan pemain KL City, Kamal Azizi Mohamad Zabri di Bukit Jalil.
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan kekalahan 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi final Piala Malaysia bukan berpunca akibat sikap terlalu yakin dalam kalangan pemain Harimau Selatan sebaliknya keberkesanan taktikal The City Boys.

Malah menurut Mora, para pemain skuad Harimau Selatan telah memberikan persembahan terbaik apabila mencipta beberapa peluang menjaringkan gol, namun dinafikan pertahanan skuad Bojan Hodak yang beraksi cemerlang terutamanya di separuh masa pertama.

“Memang sukar untuk kita menerima kekalahan ini kerana kedatangan kami adalah untuk memenangi Piala Malaysia, namun kami gagal mencari ruang terbaik kerana KL City berjaya menutup ruang berkenaan dan pada masa sama menanti untuk kita melakukan kesilapan.

“Namun inilah bola sepak, jika sebelum ini kita sering memenangi perlawanan, kali ini tiba giliran kita pula untuk ditewaskan dan sememangnya menyakitkan apabila tewas pada final, namun kita perlu terus belajar dan bekerja lebih keras.

“Apa pun, tahun ini telah menjadi tahun yang terbaik buat pasukan apabila berjaya mencipta rekod, kita kekal sebagai juara Liga Super dan beraksi di pentas final Piala Malaysia adalah satu keistimewaan buat kelab ini,” katanya.

Pada masa sama Mora menjelaskan tiada pihak yang harus dipersalahkan atas kekalahan itu kerana semua pemain beraksi dengan baik pada final itu.

“Saya tidak fikir kekalahan kami adalah disebabkan sikap terlalu yakin yang ditunjukkan para pemain kerana semuanya sudah memberikan aksi yang terbaik.

“Malah, saya sendiri tidak tahu mengenai posisi saya pada tahun depan, kerana bukan saya yang membuat keputusan mengenainya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!