Monsun Timur Laut: Agensi kerajaan siap siaga

Semua agensi kerajaan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijadual sehingga Mac tahun depan. - Gambar hiasan
Semua agensi kerajaan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijadual sehingga Mac tahun depan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi tindak balas (responder), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijadual sehingga Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam jawapan disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu memaklumkan sebagai persiapan, JKR akan mengenal pasti dan memantau jalan yang pernah dilanda banjir atau mengalami runtuhan cerun, berhampiran sungai dan di kawasan rendah yang mungkin terjejas.

“JKM menyediakan 5,731 pusat pemindahan sementara, lapan Depot Simpanan Keperluan Bencana, 165 stor bencana atau mini depot atau kontena dan 521 pangkalan hadapan.

“MetMalaysia dan JPS telah menyampaikan taklimat Monsun Timur Laut kepada agensi pengurusan bencana negeri dan daerah. Jabatan-jabatan berkenaan juga akan memastikan penyaluran maklumat dan ramalan cuaca serta jangkaan hujan lebat disampaikan di media massa,” katanya.

Beliau memberi maklum balas kepada soalan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) yang ingin tahu kesiapsiagaan agensi kerajaan, pemberitahuan serta pendidikan kepada rakyat bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Abd Latiff memaklumkan sebagai persiapan, agensi-agensi tindak balas mempunyai 66,105 petugas, 8,374 kenderaan darat dan air serta 20,644 aset bukan kenderaan iaitu jaket keselamatan, set generator dan lain-lain.

“Setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah dimohon untuk melaksanakan simulasi bencana, menyelaraskan aset, logistik dan sumber manusia, melibatkan badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu, mengaktifkan segera Pusat Kawalan Operasi Bencana semasa bencana serta menggerakkan aset air, darat dan udara apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak berkuasa tempatan dimohon menyelenggara sistem perparitan untuk mengelakkan bencana banjir manakala semua pemilik empangan dimohon memaklumkan pelepasan air lebih awal kepada agensi-agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan meneruskan inisiatif penyampaian amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan berisiko banjir.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan juga telah dimohon memastikan Pejabat Kesihatan Daerah berkongsi data individu yang dikuarantin di rumah bagi mengelakkan penularan Covid-19. - Bernama