Murid faham tatacara ujian kendiri di sekolah: Mohd Radzi

Dr Mohd Radzi - Foto fail Bernama
Dr Mohd Radzi - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sebahagian besar murid sudah biasa melakukan ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur, kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Radzi yang meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 di sini pada Rabu bagi melihat pengoperasian sekolah dan hari pertama pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah berpuas hati dengan proses berkenaan.

"Alhamdulillah, kita lihat anak-anak ini mula memahami tentang kaedah dan tatacara pelaksanaannya di sekolah.

"Kita lihat pelaksanaan hari ini berjalan dengan baik, murid dapat mematuhi arahan yang diberikan oleh guru-guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah," katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada media.

Sehubungan itu, Mohd Radzi berkata, KPM yakin proses tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan teratur pada minggu berikutnya hingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Disember ini.

Mengenai pelaksanaan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran dilaksanakan pada setiap minggu pada Rabu, Mohd Radzi berkata, seramai 28 daripada 280 murid di SK Bandar Sri Damansara 3 dipilih untuk melaksanakan ujian itu.

Pada 27 November lepas, KPM memaklumkan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

Sehari sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara mingguan bermula 29 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: