X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Program WBB, MyKasih Kapital bukan skim untungkan kroni: KPWKM

A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan tular di Twitter bahawa program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) dan MyKasih Kapital sebagai sebuah 'skim' menguntungkan syarikat penganjur program keusahawanan terkenal di Malaysia atas dasar kroni.

KPWKM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, WBB merupakan kolaborasi strategik antara kementerian tersebut dengan syarikat yang terlibat tanpa kos dan pemilihan syarikat terlibat sebagai rakan strategik adalah berikutan kemampuan dan prestasi melahirkan ribuan usahawan jutawan berjaya.

“Kolaborasi strategik antara KPWKM bersama syarikat swasta dilihat satu usaha signifikan kerana matlamat program adalah bagi membantu wanita tempatan yang terjejas pendapatan ketika mengharungi pandemik Covid-19,” menurut kenyataan itu.

KPWKM turut menafikan dakwaan disebarkan di platform sama bahawa peserta diminta membeli sebuah buku semasa program itu sebaliknya peserta diberi pilihan sama ada ingin memuat turun e-book secara percuma atau mendapatkan buku secara fizikal dan peserta hanya perlu menanggung kos penghantaran.

Menurut kenyataan itu, program MyKasih Kapital yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 April sempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac tahun ini pula adalah bantuan suntikan modal untuk wanita memulakan perniagaan bagi menjana ekonomi keluarga.

Kata kenyataan itu, peruntukan keseluruhan geran berjumlah RM2 juta oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyasarkan 4,000 wanita yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan dan program ini mendapat penyertaan yang menggalakkan melebihi 4,000 sasaran asal.

Tambah kenyataan itu, kesemua peserta telah dikenal pasti dan telah melalui proses saringan sebelum diberi bimbingan melalui pelbagai aktiviti termasuk bengkel dan motivasi.

“KPWKM menyelar tindakan tanpa usul periksa yang dibuat oleh pemilik akaun (Twitter) terlibat kerana menggunakan bahasa kesat, dakwaan palsu, membuat tohmahan dan penghinaan yang keterlaluan terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan atau perkongsian agar tidak menyebarkan maklumat palsu kerana itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain turut berdepan tindakan saman di mahkamah. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!