Atlet karate pekak negara bawa pulang pingat gangsa

Yilamaran merangkul gangsa menerusi acara kumite lelaki bawah 84 kilogram pada Kejohanan Karate Pekak Dunia 2021 edisi pertama di Tehran, Iran bulan lepas. - Foto MSDeaf
Yilamaran merangkul gangsa menerusi acara kumite lelaki bawah 84 kilogram pada Kejohanan Karate Pekak Dunia 2021 edisi pertama di Tehran, Iran bulan lepas. - Foto MSDeaf
A
A
A

ATLET karate pekak negara, V Yilamaran melakar sejarah apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa pertama negara dalam Kejohanan Karate Pekak Dunia 2021 edisi pertama di Tehran, Iran bulan lepas, sekali gus menjadi batu loncatan bagi skuad negara mengembangkan lagi potensi atlet para bagi acara berkenaan.

Jurulatih karate kebangsaan Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf), V Vicnesvaran berkata, Yilamaran merangkul gangsa menerusi acara kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) pada kejohanan yang berlangsung dari 18 hingga 25 November lepas.

"Ini pertama kali Malaysia mengambil bahagian di peringkat dunia dan kami mencipta sejarah berjaya membawa pulang pingat," katanya yang sedang menjalani kuarantin ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Selain Yilamaran, tujuh lagi atlet yang menyertai kejohanan tersebut adalah Siti Norinsyirah Adawiah, Muhammad Iqbal Mohd Taib, Pang Kai Xiang, M. Gopinath, Muhammad Afiq Mohd Taib, Ong Zong Yi dan Muhammad Danial Moharam.

Berkongsi mengenai cabaran dan persediaan pasukan negara, Vicnesvaran berkata, komitmen serta semangat yang ditunjukkan atlet para sangat tinggi sepanjang tempoh latihan dilaksanakan, meskipun negara berhadapan penularan wabak Covid-19.

"Disebabkan Covid-19, semua kelas ditutup tetapi kami tetap panggil atlet untuk tinggal dan berlatih di dalam kelas secara kuarantin selama dua bulan setengah di Pusat Latihan Kebangsaan Karate Pekak di Skudai, Johor," katanya.

Vicnesvaran berkata, kurangnya pertandingan sukan tersebut susulan pandemik juga merupakan antara halangan terbesar yang dihadapi atlet para dalam mempersiapkan diri sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap memperoleh kutipan dana secukupnya bagi membawa atlet menyertai pertandingan Deaflympic di Caxias Do Sul, Brazil bermula 1 hingga 15 Mei depan, selepas melakukan kutipan sumbangan dana awam bagi menampung kos sepanjang kejohanan di Tehran itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami dapat ke Tehran dengan bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) serta keprihatinan rakyat Malaysia, terima kasih kepada setiap individu dan semua pihak yang menghulurkan bantuan dari segi kewangan, idea dan apa jua jenis bantuan.

“Kami meminta maaf kerana tidak membawa pulang pingat emas, tetapi pada Mei nanti saya harap kita dapat menyertai lebih banyak perlawanan pemanas badan sebelum pergi ke Deaflympic," katanya sambil memaklumkan bahawa anak buahnya akan kembali memulakan latihan pada bulan depan.

Vicnesvaran turut berterima kasih kepada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) kerana membenarkan atlet pekak bertanding dengan atlet normal di peringkat kebangsaan pada 2019 yang menyaksikan anak buahnya meraih lima pingat secara keseluruhan.

"Tahap kita memang setara dengan negara lain, tetapi kita agak ketinggalan dari segi persiapan dan pengalaman,” katanya. - Bernama