Ambil graduan bidang perhotelan tampung kekurangan pekerja

Melaka kembali menjadi tumpuan pelancong selepas rentas negeri dibenarkan. - Foto Bernama
Melaka kembali menjadi tumpuan pelancong selepas rentas negeri dibenarkan. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pemain industri perhotelan perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada graduan perhotelan untuk menjadi sebahagian tenaga kerja di sektor tersebut dalam usaha menyelesaikan kekangan pekerja yang dihadapi mereka masa kini.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah Mei Lee berkata, pada situasi sekarang, sektor perhotelan sepatutnya tidak terus menunggu atau bergantung kepada kemasukan pekerja asing sebaliknya boleh mengambil graduan perhotelan yang sedia ada.

“Ia adalah situasi menang-menang...pengurusan hotel boleh menggajikan graduan daripada bidang tersebut secara waktu fleksibel memandangkan industri tersebut masih belum stabil.

“Pemain industri perhotelan mahu teruskan perniagaan tapi takut untuk buka hotel dan menggajikan pekerja mereka secara tetap di samping sukar untuk mendapatkan pekerja asing. Untuk itu, ada baiknya ruang pekerjaan tersebut diberikan kepada graduan dari UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan MARA (Majlis Amanah Rakyat) yang sangat berpotensi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, graduan tersebut boleh bekerja sebagai pelatih industri atau memilih untuk bekerja pada hujung minggu di hotel-hotel yang sedang berdepan dengan masalah kekurangan pekerja.

Situasi ini katanya, sekali gus dapat memastikan industri hotel terus hidup dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada pelajar berkenaan menimba ilmu dan mencari wang saku.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan negeri juga boleh membawa masuk pekerja dari Sabah dan Sarawak melalui insentif tinggal dan bekerja di Melaka.

“Saya percaya ramai penduduk di Sabah dan Sarawak mahu bekerja di sektor ini. Jadi kita minta kerajaan negeri melalui Exco Pelancongan dan Warisan untuk melihat idea ini bagi mengatasi keluhan pemilik hotel yang berdepan masalah pekerja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Madelina juga berharap agar kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah banjir dan ruang parkir di negeri ini terutama di lokasi utama tarikan pelancong.

“Sejak rentas negeri dibenarkan, Melaka mula kembali seperti dahulu dan sudah tentu dua masalah ini menjadi kebimbangan kami. Kita agak risau jika tidak diselesaikan, ia akan membuatkan pelancong tertekan dan putus asa untuk melancong di sini,” katanya. - Bernama