Urusan perolehan vaksin dilaksana secara teratur: PAC

Wong Kah Woh (tengah) dan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (kanan) ketika sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Wong Kah Woh (tengah) dan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (kanan) ketika sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Urusan perolehan vaksin dilaksana secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan (MOF), menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata, PAC berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan yang didapati munasabah.

Bagaimanapun katanya, PAC mendapati harga premium iaitu peningkatan antara 16.78 hingga 18.12 peratus perlu dibayar kerajaan dalam pembelian sebahagian vaksin Sinovac, antaranya akibat kelewatan syarikat Pharmaniaga dalam penghantaran pada April, Mei dan Jun 2021 serta atas keperluan mendesak dalam tempoh tersebut.

“PAC berpendapat kerajaan harus berpegang kepada harga sama seperti yang termaktub dalam perjanjian awal,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

PAC pada Rabu membentangkan laporan berhubung perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan MOF di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, PAC mendapati kerajaan tidak mampu meletakkan wang tempahan kepada syarikat-syarikat pengeluar vaksin untuk tempahan awal tanpa maklumat klinikal disebabkan sumber kewangan yang terhad.

Menurut PAC, ini merupakan satu daripada faktor Malaysia tidak mendapat bekalan vaksin dengan lebih cepat, namun proses perolehan vaksin bertambah proaktif dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada Oktober 2020.

PAC juga mendapati jumlah peruntukan RM3 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) yang diumumkan MOF semasa pembentangan Bajet 2021 tidak diambil kira dalam keseluruhan anggaran perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mengambil maklum bahawa kerajaan akan mula membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera mulai April tahun ini walaupun pada asalnya ia dibangunkan secara konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR), PAC berpandangan konsep berkenaan telah digunakan sebagai suatu mekanisma untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan sepatutnya.

Justeru, PAC mengesyorkan kerajaan tidak membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya adalah bersifat CSR selain mengambil alih pengoperasian aplikasi itu tanpa melibatkan kos tambahan memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan negara.

PAC turut mengesyorkan kerajaan menetapkan harga siling Sinovac yang dijual dalam pasaran swasta dengan segera dan mengambil tindakan proaktif memuktamadkan pembelian vaksin untuk kanak-kanak termasuk meletakkan wang tempahan sekiranya perlu bagi menjamin penghantaran vaksin tidak akan terlewat.

PAC mengambil masa kira-kira setahun untuk melengkapkan prosiding berhubung perolehan vaksin berkenaan dengan memulakan prosiding pada 5 Januari 2021. - Bernama