KPM perlu terbuka, sedia saluran khas untuk guru beri pandangan

Maszlee (tengah) ketika bercakap pada sidang akhbar di Parlimen, Rabu.
Maszlee (tengah) ketika bercakap pada sidang akhbar di Parlimen, Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersikap lebih terbuka serta menyediakan saluran khas untuk guru menyatakan pandangan berkaitan dengan permasalahan yang timbul membabitkan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik berkata, gesaan itu dibuat susulan wujud dakwaan ada guru telah dipanggil memberi keterangan kepada Unit Integriti KPM kerana memberi pandangan kritis terhadap kementerian itu.

Menurutnya, adalah sesuatu yang normal untuk mana-mana pihak termasuk guru ‘meluahkan’ perasaan mereka terhadap sesuatu perkara selepas terpaksa kembali ke sekolah dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) baharu.

“Kita dapati apabila guru-guru ini kembali ke sekolah dengan lesu upaya (burnout) mereka masih ada lagi dan anak murid juga masih ada lesu upaya (disebabkan tempoh pandemik). Jadi mereka perlu diberikan kepercayaan untuk melakukan kreativiti (dalam pembelajaran) masing-masing dalam memulihkan kembali motivasi dan semangat sama ada peringkat guru mahupun anak-anak.

“Jadi adalah agak normal apabila adanya keluh kesah, aduan dan pandangan kritis mereka terhadap apa yang berlaku sama ada di media sosial atau pun di mana-mana sahaja platform kerana kita tahu mereka juga manusia biasa.

"Saya rayu KPM agar memahami keadaan psikologi guru pada waktu ini dengan memberikan peluang kepada mereka bersuara dan memberikan pandangan mereka,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan KPM membuat ‘hukuman’ sedemikian kepada guru yang ingin menyatakan pandangan kritis atau aduan tidak sepatutnya berlaku.

“Apabila intimidasi ini dilakukan dan guru-guru tidak boleh meluahkan perasaan, ia membuatkan psikologi mereka tertekan dan ini bukan sahaja tidak baik kepada guru tetapi kepada anak-anak juga,” katanya.

Artikel Berkaitan: