X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Agong gusar penularan varian Omicron

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang dikategorikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sehubungan itu, Seri Paduka menasihati seluruh rakyat untuk terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta menyeru supaya mereka berwaspada dan tidak alpa dalam menjalani aktiviti harian.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin Covid-19 dan mendapatkan dos penggalak bagi melindungi dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, ahli-ahli keluarga tersayang dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan untuk membendung penularan varian tersebut yang diklasifikasikan sebagai lebih berbahaya dan cepat merebak.

“Khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara, mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan Covid-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, terutama dari negara yang melaporkan kes Covid-19 varian Omicron,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, menurut WHO, varian Omicron juga berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti berbanding varian lain serta mutasi dalam varian tersebut berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.

Beliau berkata, Seri Paduka berharap rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka berpandangan segala pengorbanan dan usaha semua pihak termasuk petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baharu penularan wabak itu.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap langkah proaktif yang diambil KKM dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan hospital-hospital dan klinik-klinik bagi menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan kes harian sekiranya varian Omicron menembusi kawalan sempadan dan menular dalam negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, penularan jangkitan Covid-19, khususnya varian Omicron, dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan supaya rakyat dan negara ini sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!