X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Musim sejuk: Mimpi ngeri pelarian Syria

Muaz (kanan) ketika diwawancara oleh Hazwan Mokhtar pada program Sinar Live bertajuk ‘Musim sejuk bakal tiba, apakah nasib pelarian di Syria?’ yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Jumaat. -Foto Halim Abd Wahid
A
A

SHAH ALAM - Syria Care menggerakkan usaha-usaha mendirikan sekolah dengan hasil sumbangan rakyat Malaysia dan kini mempunyai 1,700 pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak.

Syria Care menyasarkan untuk mengumpul dana Bantuan Musim Sejuk 9.0 sebanyak RM1.5 juta untuk membantu seramai 100,000 pelarian Syria yang ketika ini sedang berdepan dengan musim sejuk.

Pengurus Besarnya, Muaz Abd Muein berkata, inisiatif yang memasuki tahun kesembilan itu memfokuskan untuk bantuan agihan sebanyak 8,000 set pakaian sejuk ‘winter set’ kepada kanak-kanak Syria.

Menurutnya, set pakaian tersebut mempunyai tujuh barangan termasuk topi salji, baju sejuk, jaket tebal, sarung tangan, seluar haba (thermal pants), stokin dan kasut.

“Kami akan memberikan set pakaian sejuk ini kepada kanak-kanak yang berumur enam hingga 12 tahun. “Kami juga akan memberikan jaket tebal yang berkualiti kepada penduduk di sana yang berumur antara 13 hingga 17 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk ‘Musim Sejuk Bakal Tiba, Apakah Nasib Pelarian Di Syria?’ yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar dan disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muaz berkata, melalui inisiatif yang sama, Syria Care turut memberikan bantuan barangan lain seperti bahan bakar kepada pelarian Syria untuk memanaskan persekitaran kawasan mereka.

Pengurus Besar, Syria Care, Muaz Abd Muein. -Foto Halim Abd Wahid
Pengurus Besar, Syria Care, Muaz Abd Muein. -Foto Halim Abd Wahid

“Kita bagi bantuan bahan bakar seperti birin (hampas zaitun yang dijadikan bahan bakar), kayu api, arang dan diesel.

“Ini adalah perkara yang kami akan fokuskan untuk bantuan musim sejuk pada kali ini. Kami menyasarkan jumlah kesemua bantuan ini bernilai RM1.5 juta yang akan memberikan manfaat kepada 100,000 pelarian Syria,” ujarnya.

Golongan anak yatim turut dibantu Menurut Muaz, pelarian Syria berdepan dengan kekangan dalam menyediakan kelengkapan perlindungan.

Tambahnya, situasi kanak-kanak di Syria lebih membimbangkan kerana suhu di Syria pada ketika ini telah mencapai 5 darjah Celcius dan kemungkinan akan menurun lagi.

“Bagaimanakah mereka akan berdepan dengan musim sejuk dalam keadaan kelengkapan yang serba tidak cukup?

“Jika orang tua mungkin mempunyai antibodi yang kuat dan ‘survival’ (kemungkinan untuk hidup) mereka lebih tinggi berbanding kanak-kanak. Kanak-kanak ini memerlukan perhatian dan bantuan,” tambahnya.

Dalam pada itu, menurut Muaz, golongan anak-anak yatim Syria juga menjadi fokus penting bagi Syria Care.

Tambahnya, Syria Care menyediakan pelbagai program di bawah projek penajaan anak yatim bagi membantu mereka yang telah kehilangan tempat untuk bergantung.

“Kami menggerakkan satu inisiatif iaitu projek penajaan anak yatim. Dalam projek ini, kami menyediakan program-program tertentu untuk membantu dari segi tempat tinggal anak yatim, makanan asas dan pemulihan trauma.

“Kami menyediakan aktiviti yang memeriahkan dan meningkatkan emosi mereka dengan melakukan aktiviti yang menceriakan,” katanya.

Ujarnya, Syria Care turut menggerakkan ‘Bulan Anak Yatim’ pada November tahun ini untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak lupa dan pentingnya membantu golongan anak-anak yatim.

“Apa yang Syria Care buat pada bulan November ini ialah menjalankan programprogram seperti ‘Raikan Kasih Sayang #RM20 je’ iaitu sumbangan RM20 untuk membantu anak yatim yang tidak ada penaja.

“Kedua, kita mengadakan kempen ‘GetA-Gang’. Menerusi kempen ini, mereka yang berminat boleh berpakat dengan kawankawan atau ahli keluarga untuk berkongsi (duit) dan menaja anak yatim.

“Ketiga, menerusi tabung umum iaitu ‘Sharing of Love’, Syria Care tidak menghadkan berapa jumlah sumbangan yang orang ramai akan hulurkan untuk membantu,” jelas Muaz lagi.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 600 anak yatim Syria telah ditaja oleh rakyat Malaysia yang diseliakan oleh rakan kerjasama Syria Care.

“Kami berharap penajaan anak yatim ini akan meningkat kerana masih ramai lagi anak yatim yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Utamakan pendidikan

Kata Muaz, pihaknya turut menekankan bantuan dari aspek pendidikan kepada kanakkanak Syria khususnya dalam kalangan anak yatim.

Menurutnya, pendidikan merupakan satu elemen penting dan wajar diberikan perhatian untuk membantu generasi baru pelarian Syria sekali gus mereka dapat membangunkan semula komuniti mereka.

“Syria Care menggerakkan usaha-usaha mendirikan sekolah dengan hasil sumbangan rakyat Malaysia dan kini mempunyai 1,700 pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak.

“Syria Care mempunyai sekolah sendiri di Syria dan mengutamakan anak-anak yatim untuk bersekolah,” katanya.

Bagaimanapun, Syria Care turut membantu anak-anak Syria lain untuk bersekolah.

Sementara itu, Muaz berkata, masih ramai pelarian Syria yang perlu dibantu dan memerlukan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Menurutnya, apa yang disumbangkan oleh Syria Care masih terhad dan tidak dapat membantu mereka secara keseluruhan.

“Bantuan boleh diberikan tetapi bergantung kepada kemampuan dana yang kami terima daripada rakyat Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia yang menyumbang melalui Syria Care. Kami menyampaikan sumbangan tersebut kepada pelarian Syria.

“Saya berharap semua pihak akan terus menyokong Syria Care melalui kerja-kerja kemanusiaan dan memfokuskan pendidikan kanak-kanak.

“Pendidikan akan memberi harapan kepada kanak-kanak Syria untuk apa yang mereka boleh buat dan apa yang boleh mereka belajar seperti kanak-kanak lain,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!