Tiada golongan yang tertinggal

No Image Caption
A
A
A

Peruntukan RM332 bilion menerusi Bajet 2022 adalah yang tertinggi dalam sejarah negara, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk kembali memakmurkan negara dan rakyat secara menyeluruh.

Untuk bangkit semula selepas hampir dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) menumpukan kepada mesej 3M iaitu Memulih kehidupan (recovery), Membina ketahanan (resilience) dan Menyusun semula (reform).

3M itu pula merangkumi tiga kategori penting dan utama iaitu ekonomi, keperluan rakyat dan perniagaan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' menekankan tiga fokus induk iaitu:

- Rakyat yang sejahtera
- Perniagaan yang berdaya tahan
- Ekonomi yang makmur & mampan

Tumpuan kepada 3M itu mengambil kira impak buruk pandemik pada 2021 yang menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup kepada 3 hingga 4 peratus berbanding 6.5 hingga 7.5 peratus, kadar pengangguran 4.6 peratus selain 37,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) gulung tikar.

Menerusi suntikan Bajet 2022, kerajaan menyasarkan peningkatan KDNK negara kepada 5.5 peratus hingga 6.5 peratus dengan pembukaan semula sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel Berkaitan:

Kadar pengangguran pula disasarkan pengurangan kurang 4 peratus selain menyokong usahawan untuk bangkit semula.

Memulih kehidupan

1. Dari sudut ekonomi: Ia bertitik tolak dengan pembukaan semula ekonomi di bawah PPN dan dasar fiskal mengembang. Dasar fiskal mengembang itu melibatkan peruntukan besar dalam Bajet 2022 berjumlah RM322 bilion, dengan defisit diunjur berkurang pada kadar 6 peratus, peruntukan RMKe12 berjumlah RM400 bilion.

2. Dari sudut rakyat: Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk menjana 600,000 peluang pekerjaan melibatkan lantikan terus (RM3.7 bilion) dan inisiatif 'reskilling' dan 'upskilling' (RM1.1 bilion).

Keluarga Malaysia dibantu dengan bantuan tunai langsung secara bersasar yang telah ditambah baik menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.

BKM bakal menyalurkan bantuan maksimum sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan, berbanding RM1,800 di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini.

Aspek pendidikan dibantu dengan peruntukan RM0.5 bilion untuk pemberian PerantiSiswa kepada golongan B40, RM0.3 bilion, pemberian one-off RM150 dalam akaun e-dompet belia berusia 18 hingga 20 tahun menerusi e-Start, melanjutkan tempoh pemotongan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada kadar 9 peratus.

3. Dari sudut perniagaan: Program Subsidi Upah diteruskan membabitkan peruntukan RM0.6 bilion dan pembiayaan PKS sebanyak RM40 bilion dalam bentuk jaminan (RM12 bilion), pinjaman mudah (RM14 bilion), kredit mikro (RM2 bilion) dan pembiayaan alternatif (RM2 bilion).

Membina ketahanan

1. Dari sudut ekonomi: Kerajaan melaksanakan pengurusan fiskal yang mampan melalui Akta Tanggungjawab Fiskal, rasionalisasi subsidi dan pengenalan Cukai Makmur.

Sistem kesihatan turut diperkukuhkan dengan peruntukan RM2 bilion untuk vaksin penggalak dan RM2 bilion lagi untuk menambah kapasiti kesihatan awam.

Tumpuan turut diberikan kepada perumahan dengan pelaksanaan pelbagai projek menerusi peruntukan RM1 bilion dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) berjumlah RM0.5 bilion.

2. Dari sudut rakyat: Kerajaan mengukuhkan perlindungan sosial menerusi Bantuan Kebajikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan berjumlah (RM 0.2 bilion), bantuan sektor informal (RM0.3 bilion) dan bantuan pengangguran (RM0.3 bilion).

Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar merangkumi penyelenggaraan sekolah (RM1 bilion), bantuan awal persekolahan (RM0.5 bilion) dan penyelenggaran dan pembaikan sekolah daif (RM0.7 bilion).

3. Dari segi perniagaan: Kerajaan memfokuskan agenda pendigitalan dengan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk pembinaan infrastruktur 5G, RM0.3 bilion untuk e-dagang, RM0.2 bilion untuk pendigital PKS selain mengukuhkan sektor utama melibatkan dana pelaburan strategik (RM2 bilion) dan sektor pelancongan (RM1 bilion).

Menyusun semula

1. Dari sudut ekonomi: Kerajaan memperkasakan ekonomi Islam menerusi inisiatif wakaf dan halal serta memperkukuhkan transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan pelaburan strategik (RM30 bilion), pembangunan vendor Bumiputera (RM0.5 bilion), sumbangan sosial (RM0.5 bilion) dan memperkasa PKS (RM5 bilion).

2. Dari sudut rakyat: Sejumlah RM0.1 bilion disediakan secara geran padanan dengan sumbangan yayasan milik GLC kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membiayai program sosial, membantu golongan rentan, bantuan kepada Sabah (RM5.2 bilion) dan Sarawak (RM4.6 bilion) dan pembangunan luar bandar (RM2.5 bilion).

3. Dari segi perniagaan: Peruntukan merangkumi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan 'zero net economy' melibatkan 'climate fund' sebanyak RM1 bilion, kenderaan elektrik dan bursa carbon trading (RM0.2 bilion).

Semua dapat manfaat

 MOHAMAD FAZLI
MOHAMAD FAZLI

Pakar ekonomi, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berpandangan, penumpuan terhadap 3M selari dengan situasi negara yang bakal berdepan fasa endemik dan keperluan global yang terarah kepada digitalisasi.

Menurutnya, pendekatan kerajaan itu dapat memastikan semua segmen masyarakat bangkit secara seiring dan memacu pemulihan ekonomi negara.

"Menerusi 3M ini, tiada golongan yang tertinggal kerana ia bersifat menyeluruh kepada semua golongan termasuk belia, warga emas, ibu tunggal dan kaum wanita. Setiap ceruk kawasan kerajaan salurkan bantuan tanpa ada yang tercicir," katanya.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan, langkah awal kerajaan membuka semula ekonomi menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pendekatan 3M.

Katanya, 3M melegakan rakyat kerana bukan hanya golongan B40 yang menerima manfaat, bahkan M40 dan T20 turut menerima limpahan faedah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Majoriti mereka meluahkan rasa syukur kerana suntikan dan bantuan yang diberikan kerajaan akan dapat dibelanjakan untuk keperluan hidup selain dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

"Dalam masa dua bulan selepas sektor ekonomi kembali dibuka kita dapat lihat sektor bisnes bernyawa semula. Ini menggembirakan rakyat dan usahawan.

"Menerusi digitalisasi semua segmen iaitu ekonomi, rakyat dan pernigaan akan berdaya tahan untuk harungi cabaran pada masa depan," katanya.

REAKSI RAKYAT

SAIDAH
SAIDAH

“Sebagai ibu 11 anak dan suami telah bersara, bayaran BKM yang dinaikkan hingga RM2,000 besar nilainya. Boleh guna untuk tampung yuran dan belanja sekolah anak, bayar bil api dan air, beli barang dapur dan bakinya boleh simpan untuk kecemasan.” - Saidah Ab Majid, 59.

ARVEND
ARVEND

“Perkara yang menarik perhatian saya dalam Bajet 2022 ini ialah usaha kerajaan sediakan 600,000 peluang kerja kerana anak muda sekarang dibelenggu dengan isu pengangguran lepas tamat pengajian dan ramai yang hilang kerja akibat Covid-19.” - A Arvend, 27.

TUAN MOHD ZULHILMI
TUAN MOHD ZULHILMI

“Syukur sebab golongan belia dan mahasiswa akan diberi tablet percuma melalui inisiatif PerantiSiswa kepada mereka yang layak. Ini adalah pendekatan yang sangat bijak memandangkan proses pembelajaran masa kini menggunakan teknologi sepenuhnya.” - Tuan Mohd Zulhilmi Tuan Normadi, 31.

YEE CHYIN
YEE CHYIN

“BKM untuk orang bujang membuatkan ramai rakyat menarik nafas lega sebab bantuan tunai sebegini dapat elakkan rakyat ikat perut dalam fasa negara sedang pulihkan ekonomi. Daripada 32.7 juta rakyat Malaysia ketika ini, hampir semua terjejas tak kira bangsa, agama, usia dan latar belakang.” - Quick Yee Chyin, 26.

REAKSI PENIAGA

ARIFUDDIN
ARIFUDDIN

"Bisnes saya ibarat nyawa-nyawa ikan, jadi bantuan kerajaan kepada golongan PKS ibarat satu sinar kerana ia dapat tampung modal pusingan kami." - Arifuddin Nawawi, 31.

ROHANA
ROHANA

"Bantuan yang disalur kerajaan kepada peniaga membantu kami untuk terus bertahan sebab kami berdepan dengan banyak cabaran getir terutama kenaikan harga barang dan kekurangan pembeli." - Rohana Tahir, 52.