1,064 kes cerai pasangan Islam di Negeri Sembilan setakat September

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Mahkamah Syariah negeri merekodkan 1,064 kes perceraian bagi pasangan Islam sejak Januari hingga September lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu pada Rabu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, angka itu dilihat rendah berbanding jumlah kes bagi keseluruhan tahun lepas dengan 2,563 manakala sebanyak 3,177 kes direkodkan pada 2019.

“Bagi kes perceraian melibatkan pasangan bukan Islam pula, sebanyak 1,418 kes dicatatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tempoh 2019 hingga 31 Ogos tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) mengenai jumlah kes perceraian bagi 2019, 2020 dan 2021 dan jenis bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan.

Aminuddin berkata, JHEAINS telah menyediakan bantuan khidmat nasihat kepada pasangan suami isteri yang memerlukan sesi runding cara selain turut berkolaborasi dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memberi bimbingan kepada pasangan bermasalah.

“Kita juga turut mengadakan program kesedaran secara dalam talian untuk memberi kefahaman mengenai pasangan masing-masing dan aspek rumah tangga sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: