38 keluarga miskin tegar dapat rumah

Shahidan (tengah, berdiri) bergambar bersama 38 penerima rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia.
Shahidan (tengah, berdiri) bergambar bersama 38 penerima rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 38 keluarga miskin tegar diberikan rumah menerusi inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia pada Isnin.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bertempat di Pusat Komuniti Beringin di sini.

Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi satu kenyataan berkata, inisiatif itu merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut kenyataan itu, penerima unit kediaman itu terdiri daripada penyewa yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL ditawarkan memiliki rumah sendiri dan tidak perlu lagi membayar sewa bulanan kepada DBKL.

"Menerusi inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia, TNB telah memperuntukkan RM1.5 juta wang zakat untuk dimanfaatkan kepada 30 keluarga Islam miskin tegar.

"YWP pula menyumbang sebanyak RM400,000 kepada lapan penyewa miskin tegar bukan Islam di PPR dan PA DBKL untuk memiliki rumah sendiri," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, rumah penerima turut dibaik pulih dan dilengkapi dengan barangan elektrik asas mengikut keperluan semasa keluarga tersebut.

Kata kenyataan itu, sebanyak 337 unit rumah telah diserahkan kepada warga miskin tegar di PPR dan PA DBKL yang layak sejak 2016.

Artikel Berkaitan:

"Ini membolehkan rakyat yang tidak berkemampuan memiliki rumah sendiri yang lebih selesa sebagai asas keharmonian sesebuah keluarga.

"Inisiatif ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan tempat tinggal yang selesa kepada golongan B40 di Wilayah Persekutuan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan juga merupakan salah satu alternatif dalam usaha mengurangkan masalah kemiskinan bandar khususnya di Kuala Lumpur.

"KWP menyasarkan membantu 50 lagi keluarga miskin tegar memiliki unit kediaman menerusi inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia tahun hadapan.

"Program ini diharap dapat membantu golongan miskin tegar dan meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pemilikan rumah kediaman yang selesa selari dengan matlamat Our City Our Home," katanya.