Pemandu kren didakwa laku amang seksual terhadap anak kandung

Tertuduh (tengah) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual.
Tertuduh (tengah) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual.
A
A
A

MELAKA - Seorang pemandu kren tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 45 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa telah melakukan amang seksual terhadap anak perempuan kandungnya berusia tujuh tahun 11 bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada waktu tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai di sini di antara pertengahan dan akhir Oktober 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama yang ketika itu telah berusia 11 tahun di alamat sama, kira-kira jam 2.30 pagi pada 23 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia mempunyai tujuh orang anak yang perlu ditanggung termasuk mangsa dan dalam proses penceraian dengan isterinya.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.