357,898 pejalan kaki guna bot laju setakat Oktober

Bot laju yang menggantikan feri ikonik bagi membawa penumpang pejalan kaki di Pulau Pinang.
Bot laju yang menggantikan feri ikonik bagi membawa penumpang pejalan kaki di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 357,898 pejalan kaki telah menggunakan perkhidmatan bot laju (katamaran) sejak Januari sehingga Oktober lalu selepas perkhidmatan itu diperkenalkan untuk menggantikan feri ikonik Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan bot laju bagi penumpang pejalan kaki dianggap mendapat sambutan yang memberangsangkan berdasarkan rekod penumpang yang dikemukakan kepada kerajaan negeri setiap bulan.

Menurutnya, peningkatan rekod penumpang secara konsisten juga dicatatkan setelah kerajaan negeri memperuntukkan subsidi dengan membiayai tambang bot laju kepada semua penumpang pejalan kaki (warganegara Malaysia) sejak 1 Julai lalu.

"Perkhidmatan itu juga mendapat sambutan baik oleh pengguna kerana lebih selesa, selamat dan cepat berbanding perkhidmatan feri lama," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) menjawab soalan lisan Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir) berhubung jumlah penumpang bot laju itu sejak dilancarkan serta sama ada perkhidmatannya mendapat sambutan pengguna.

Menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor (UMNO-Sungai Dua) sama ada sekurang-kurangnya sebuah feri ikonik Pulau Pinang dapat dikekalkan untuk membawa penumpang pejalan kaki, Zairil berkata, perkara yang sama juga diminta kerajaan negeri kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sebelum ini.

"Kerajaan negeri sudah meminta perkara sama kepada SPPP, namun kita dimaklumkan kos bagi penyelenggaraan feri ikonik itu terlalu mahal selain ia tidak lagi sesuai untuk terus beroperasi.

“Walaupun kerajaan negeri tidak bersetuju perkhidmatan feri ikonik ini ditamatkan sepenuhnya, namun kita terpaksa menerimanya memandangkan perkhidmatan feri itu di bawah SPPP,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 Disember tahun lalu, SPPP mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun ini yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.

Bermula tarikh itu juga perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri sedia ada.

Bermula 1 Januari 2021 hingga Jun 2022, penggunaan feri laju dan feri sedia ada adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan 'vehicle transporter' digunakan.