ECERDC tarik pelaburan RM2.9 bilion ke Terengganu

Ahmad Samsuri (duduk, tengah) dan Baidzawi (duduk, dua dari kanan) ketika hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu pada Selasa. -Foto: ECERDC
Ahmad Samsuri (duduk, tengah) dan Baidzawi (duduk, dua dari kanan) ketika hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu pada Selasa. -Foto: ECERDC
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM2.9 bilion ke Terengganu pada tahun ini sehingga tempoh 15 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan tersebut akan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan kepada rakyat Terengganu dan masyarakat setempat.

Menurut Baidzawi, pihaknya akan menarik lebih banyak pelabur ke Terengganu dengan tumpuan diberikan kepada salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC iaitu Taman Biopolimer Kerteh (KBP).

“ECERDC akan memperhebatkan aktiviti mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi Persekutuan dan negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.

“Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn Bhd (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu.

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Setakat ini, KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar telah menarik pelaburan berjumlah RM5.2 bilion dengan Fasa Satu dan Fasa Dua telah diduduki sepenuhnya, manakala Fasa Tiga telah siap tahun lepas.

Beliau berkata, kompleks Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) KBP juga menerima sambutan menggalakkan walaupun siap ketika pandemik Covid-19 apabila 98 peratus daripada lot yang ada telah diduduki.

Artikel Berkaitan:

Katanya, majoritinya adalah syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada Petronas dan syarikat-syarikat petrokimia lain di wilayah ini.

“ECERDC turut menyasarkan pertumbuhan dalam industri petrokimia dan kini sedang membangunkan Fasa Empat meliputi kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk pelabur menjelang pertengahan tahun 2025,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu pada Selasa turut memuji usaha ECERDC menarik pelaburan ke Terengganu.

“Kejayaan KBP membuktikan bahawa strategi ekonomi yang sesuai dan pembangunan infrastruktur pengupaya telah menjadikan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik,” katanya.