Malbatt 850-8 lakar sejarah diiktiraf UNIFIL

Anggota Malbatt 850-8 melaungkan kata semangat 'Gempur Wira' selepas upacara menanggalkan beret biru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada majlis Pembubaran, Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Penyampaian Anugerah Malaysian Battalion 850-8 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Puspada) pada Rabu. - Foto Bernama
Anggota Malbatt 850-8 melaungkan kata semangat 'Gempur Wira' selepas upacara menanggalkan beret biru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada majlis Pembubaran, Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Penyampaian Anugerah Malaysian Battalion 850-8 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Puspada) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850-8 buat pertama kali dalam sejarah menerima sijil pengiktirafan Environmental Compliance (pematuhan alam sekitar) daripada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) semasa menjayakan misi UNIFIL di Lubnan.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kontinjen berkenaan diiktiraf sebagai batalion terbaik di bawah sektor barat serta mendapat pengiktirafan daripada Ketua Misi UNIFIL merangkap Pegawai Pemerintah Mej Jen Stefano Del Col, sebagai 'role model' kepada batalion-batalion lain di Lubnan.

Beliau turut melahirkan rasa bangga atas kecekalan dan komitmen pasukan berkenaan yang terus mengekalkan nama baik sepertimana kontinjen terdahulu sejak ATM terlibat dalam misi UNIFIL pada 2007.

"Anggota ATM telah mempamerkan sifat profesional tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman yang menjadikan Malaysia terkenal dan disenangi oleh semua pihak di Lubnan.

"Kejayaan yang dicapai ATM ketika melaksanakan misi di Lubnan merupakan kejayaan organisasi ini yang menyokong dasar kerajaan dalam pembinaan dan pemerkasaan hubungan antarabangsa bagi konteks jaringan diplomasi pertahanan dan ketenteraan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) di sini, yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Jelasnya, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama ATM sendiri malah mereka turut membawa imej dan nama Malaysia untuk terus dipercayai dan diyakini dalam melaksanakan tugas demi keamanan sejagat di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Affendi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kerana memberikan kepercayaan penuh untuk berkhidmat seiring dengan ATM bagi melaksanakan misi kontinjen Malbatt siri 8 di Lubnan.

Artikel Berkaitan:

"Komitmen, semangat dan kerjasama berpasukan yang telah ditunjukkan seharusnya diberikan kepujian. Kehadiran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam kontinjen Malbatt merupakan 'force multiplier' buat kontinjen ini sehingga berjaya mengharumkan nama dan imej Malaysia dan Brunei di persada antarabangsa terutama dalam kalangan negara PBB," katanya.

Pada majlis ini, ATM telah memberi Anugerah Kecemerlangan kepada Malbatt 850-8 sebagai mengiktiraf segala usaha dan kejayaan dipamerkan oleh pasukan berkenaan semasa menjayakan misi UNIFIL di Lubnan.

Affendi menyampaikan anugerah itu bersempena perbarisan pembubaran Malbatt 850-8 dan upacara menanggalkan beret biru PBB di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini.

Seramai 854 pegawai dan anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850-8 sebelum itu turut menerima pingat PNBB di Pusasda di sini.

Kumpulan itu yang diketuai Kol Azudin Hassan selaku Komander Malbatt 850-8, terdiri daripada 83 pegawai dan 771 anggota lain-lain pangkat ATM, seorang pegawai awam kewangan daripada Kementerian Pertahanan serta tiga pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Pasukan Malbatt 850-8 menamatkan misi UNIFIL di Lubnan dan anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan berkenaan menjalankan misi UNIFIL di Lubnan selama setahun bermula 14 November tahun lepas.

Malbatt 850-8 telah diaturgerakkan kembali ke tanah air secara empat peringkat dengan kumpulan pertama tiba pada 1 Oktober dan kumpulan terakhir pada 17 November lepas. Misi seterusnya telah diambil alih oleh Malbatt 850-9 mulai 13 November bagi tempoh setahun. - Bernama