Pak Wan berkayuh lagi, mahu cipta rekod baharu

Wan Roslan (kanan) melakukan pelepasan kayuhan Pak Wan pada Rabu.
Wan Roslan (kanan) melakukan pelepasan kayuhan Pak Wan pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Buat kali ketujuh, warga emas Wan Hashim Wan Mahmood nekad berbasikal solo mengelilingi semenanjung Malaysia bagi memecah rekod The Malaysia Book Records (MBOR) tahun ini.

Warga emas berusia 75 tahun itu sebelum ini pernah mencipta enam rekod berbasikal termasuk sehingga ke luar negara bermula tahun 2014 dan pernah mendapat pengiktirafan melalui kategori 'Olderst to cycle around peninsular Malaysia'.

Wan Hashim atau lebih dikenali sebagai Pak Wan berkata, kayuhan kali ini melibatkan perjalanan selama 30 hari bermula Rabu sejauh 2,300 kilometer dan dijangka tamat pada 30 Disember ini.

"Pak Wan sudah bersedia mental dan fizikal selain mengutamakan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang perjalanan kerana negara masih berdepan pandemik Covid-19.

"Saya sudah dapat gambaran awal untuk perjalanan kali ini cuma yang agak mencabar ialah di Banjaran Titiwangsa kerana keadaan kawasan yang berbukit dan melibatkan pendakian. Insya-ALLAH dengan pengalaman yang ada, saya dapat laksanakan sebaik mungkin," katanya.

Pak Wan (kiri) mendengar nasihat daripada Wan Roslan sebelum memulakan perjalanan.
Pak Wan (kiri) mendengar nasihat daripada Wan Roslan sebelum memulakan perjalanan.

Pelepasan kayuhan solo di lakukan Exco Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Roslan Wan Hamat di pekarangan Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Sementara itu, Wan Roslan berkata, kerajaan negeri menyokong penuh hasrat Pak Wan dan berharap ia boleh menjadi contoh kepada rakyat Kelantan terutama golongan muda.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan negeri juga berharap Pak Wan dapat pulang dengan selamat dan membolehkan beliau mencipta rekod baharu tahun ini.

Program kayuhan berbasikal solo Pak Wan ini juga turut mendapat kerjasama dan sokongan padu dari Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi).

Timbalan Presiden Kemudi, Zabidi Ishar ketika ditemui berharap Pak Wan dapat merealisasikan impiannya kali ini walaupun berdepan pelbagai risiko termasuk keadaan cuaca dan cabaran pandemik Covid-19.

"Kami tunggu Pak Wan balik dengan selamat. Apa yang penting, jaga diri sepanjang perjalanan. Kami yakin Pak Wan mampu laksanakannya dengan pengalaman sebelum ini," katanya.