Pemandu lori didakwa pecah amanah jual besi konkrit RM324,000

Mohamad Ridzuan (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Rabu.
Mohamad Ridzuan (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan pecah amanah dengan menjual besi konkrit sebanyak 81 tan milik syarikat berjumlah RM324,000 pada awal bulan November lalu.

Tertuduh Mohamad Ridzuan Abdul Khadir, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Saari.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika dilantik sebagai sub kontraktor kepada Syarikat Kanna Transport Servis dan tidak menghantar muatan besi konkrit seperti yang diamanahkan ke Pelabuhan Kuantan.

Sebaliknya, tertuduh didakwa dengan curang telah menjual besi konkrit tersebut kepada pada pihak lain di tepi Jalan Sungai Ular di sini, pada jam 8 malam, antara 9 hingga 10 November lalu.

Mohamad Ridzuan didakwa mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh sebatan serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Aini Adilah Muhammad Faizal menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam, Tharan Sigh mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan atas alasan menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dan menetapkan 16 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: