Kaunselor di Jabatan Agama Islam Negeri masih mencukupi

Ahmad Marzuk.- Foto fail Bernama
Ahmad Marzuk.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan pegawai khidmat runding cara atau kaunselor di semua Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masih mencukupi untuk menampung segala khidmat kaunseling di bawah jabatan itu.

Bagaimanapun kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, kerajaan sentiasa konsisten untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada seiring dengan keperluan semasa.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan memahami keperluan perkhidmatan tersebut apatah lagi dalam situasi negara menghadapi pandemik yang menyebabkan ramai yang terkesan dan memerlukan khidmat ini untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil perhatian terhadap cadangan Ahli Yang Berhormat mengenai keperluan pertambahan jawatan pegawai khidmat rundingcara atau kaunselor di JAIN bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti kepada masyarakat.

“Sehingga kini, Jakim konsisten mengadakan latihan yang berterusan bagi meningkatkan kompetensi, kemahiran dan kecekapan perunding cara agar sentiasa dipertingkatkan dengan asas kaunseling agar teoritikal dapat diterapkan secara praktikal sejajar dengan keperluan masyarakat,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Sabri Azri (Pas- Jerai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan bilangan kaunselor keluarga di Pejabat Agama Daerah kerana terdapat banyak kes kaunseling rumah tangga tidak mendapat rundingan yang baik disebabkan kaunselor sedia ada tidak mencukupi.

Tambah beliau, khidmat nasihat atau runding cara merupakan antara perkhidmatan yang disediakan di JAIN kepada masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada masalah kekeluargaan, bimbingan kerohanian, perundangan dan meningkatkan ketahanan emosi semasa menghadapi konflik.

Artikel Berkaitan: