9,551 maut akibat Covid-19 di Selangor

Siti Mariah menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu) berhubung jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor.
Siti Mariah menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu) berhubung jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 9,551 kes kematian akibat wabak Covid-19 direkodkan di Selangor bagi tempoh Januari hingga 2 November lalu.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,833 kematian melibatkan warganegara, manakala selebihnya membabitkan warga asing.

Beliau berkata, sebanyak 66 kes kematian akibat wabak berkenaan turut direkodkan secara keseluruhan sepanjang tahun lalu di negeri ini.

"Rekod Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bermula 1 Jun hingga 30 September lalu juga mendapati sejumlah 775 kes kematian adalah dalam kalangan mereka yang telah menerima dua dos suntikan sejak program vaksinasi bermula pada Jun 2021.

"Ini bermakna, sebanyak 9.1 peratus kematian akibat Covid-19 bagi tempoh Jun sehingga September tahun ini adalah dalam kalangan penerima dua dos vaksin," katanya sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.

Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu) berhubung jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, sebanyak 759 kes meliputi jumlah 62 peratus kes kematian di negeri ini yang melibatkan individu lengkap divaksin turut dikategorikan kematian dengan komorbid.

"Sementara 741 kes kematian direkodkan bagi tempoh sama adalah membabitkan warga emas dan 18 kes bukan warga emas," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, sewaktu menjawab pertanyaan Juwairiya Zulkifli (PKR-Bukit Melawati) berhubung perkembangan kes pedofil di Selangor, Siti Mariah memaklumkan, terdapat sebanyak 1,076 kes penderaan kanak-kanak direkodkan bagi tempoh dari Januari hingga September lalu di negeri ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penderaan kanak-kanak di negeri ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu melibatkan fizikal sebanyak 527 kes, emosi (35 kes) dan gangguan seksual (514 kes).

"Kesalahan jenayah seksual kanak-kanak ini dikuatkuasakan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001," ujarnya.