Projek tambak: Yakin semakan kehakiman memihak kepada Pulau Pinang

Pulau Pinang yakin semakan kehakiman berhubung keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan penilaian impak alam sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kelak akan memihak kepada Pulau Pinang.
Pulau Pinang yakin semakan kehakiman berhubung keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan penilaian impak alam sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kelak akan memihak kepada Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang yakin semakan kehakiman berhubung keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan penilaian impak alam sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kelak akan memihak kepada Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, ia sekali gus membolehkan projek tersebut diteruskan seperti dirancang.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin projek berkenaan dapat dijalankan kerana keputusan JAS ketika mengetepikan EIA itu bukan atas dasar kesan kepada kualiti atau persekitaran susulan projek tersebut sebaliknya lebih kepada isu teknikal.

"JAS berpandangan kelulusan EIA PSR sebelum ini diberikan ketika projek itu belum lagi digazetkan di dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030. Bagaimanapun, projek itu sudah pun diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri iaitu pihak berkuasa perancangan yang paling tinggi di Pulau Pinang.

"Sebenarnya ia sudah memadai jika kita lihat peruntukan di dalam akta kerana telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa perancangan negeri dan apabila dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

"Kerana itu, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat Lembaga Rayuan JAS malah kita yakin akan mendapat keputusan positif selepas semakan kehakiman dibuat di Mahkamah Tinggi nanti,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Rabu.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) yang meminta penjelasan berhubung keputusan Lembaga Rayuan JAS mengetepikan EIA PSR.

Dalam pada itu, Zairil berkata, keputusan Lembaga Rayuan JAS dilihat tidak adil kerana negeri lain yang mempunyai projek sama telah mendapat kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga hairan kerana projek tambak di Pulau Pinang tidak mendapat kebenaran sedangkan Johor dan Melaka turut menjalankan projek tambakan laut malah ia berskala lebih besar.

"Kita amat hairan kerana tidak dapat kebenaran sedangkan projek sama di negeri lain dengan saiz tambakan lebih besar boleh diluluskan. PSR tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan projek tambakan berskala mega seperti di Johor dan Melaka.

"Selain itu, alasan yang diberikan Lembaga Rayuan JAS ketika mengetepikan kelulusan EIA PSR sebelum ini langsung tidak boleh diterima. Ini kerana, projek itu telah pun diluluskan dan memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Jadi keputusan Lembaga Rayuan JAS itu boleh dianggap satu ketidakadilan terhadap Pulau Pinang,” katanya.

Zairil berkata, kerajaan negeri tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat Lembaga Rayuan JAS malah yakin dengan proses perundangan negara.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri hanya mempersoalkan tindakan berpilih atau dwistandard dan 'pemangsaan' yang sering terjadi kepada kerajaan Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jason H’ng Mooi Lye (DAP-Jawi) berhubung sama ada kerajaan negeri meminta penjelasan lanjut daripada JAS mengapa EIA PSR dibatalkan sedangkan projek sama di negeri lain dengan saiz lebih besar boleh diluluskan.

Sebelum ini, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.