Tanah perkuburan kosong di Selangor boleh disewa untuk aktiviti lain

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Tanah Perkuburan Islam di Selangor yang masih kosong dan telah diwartakan boleh digunakan untuk tujuan sewaan dengan kelulusan pegawai pengawal iaitu Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, aktiviti yang ingin dilaksanakan di atas tapak itu perlu sah dan mematuhi undang-undang dikuatkuasakan.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang aktiviti sebelum tapak itu diwartakan, ia di bawah tanggungjawab pentadbir tanah daerah.

"Bagaimanapun, apabila ia sudah diwartakan, pihak yang ingin menggunakan tapak itu perlu mengemukakan permohonan penggunaan tanah kepada pengarah JAIS," katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Mohd Zawawi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PH-Taman Medan) berhubung penggunaan tapak perkuburan Islam di negeri ini bagi tujuan lain.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, buat masa ini, JAIS turut mengambil beberapa langkah bagi melindungi tapak perkuburan di Selangor daripada sebarang pencerobohan dan aktiviti lain.

"Antaranya ialah melaksanakan pemantauan ke atas tapak terlibat di samping bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan penguatkuasaan mengikut Kanun Tanah Negara," katanya.

Artikel Berkaitan: