Projek KESBAN fasa satu dijangka siap Ogos 2024

Tuan Ibrahim.- Foto fail Bernama
Tuan Ibrahim.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) fasa satu yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kos sebanyak RM 656 juta dijangka siap 13 Ogos 2024.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat November lalu, kemajuan keseluruhan fizikal kerja-kerja sebenar di tapak adalah sebanyak 44 peratus telah dicapai berbanding jadual 23 peratus.

“Status pelaksanaan projek KESBAN fasa satu mengikut skop utama adalah seperti pembinaan struktur pintu air Kuala Jambu telah siap 100 peratus, pembinaan ban banjir Sungai Lanchang Lemal (bahagian hilir) telah siap 98 peratus, manakala bahagian hulu telah siap 95 peratus.

“Selain itu, pembinaan ban banjir Sungai Golok telah siap 20 peratus dan pembinaan ban banjir Sungai Mentua belum bermula,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) yang memintanya menyatakan perkembangan terkini projek pembinaan tebatan banjir di tepi Sungai Golok yang melibatkan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok fasa dua, penumpuan telah diberikan kepada salah satu komponennya yang telah diluluskan dalam Rolling Plan dua (RP2).

“Komponen yang diluluskan dalam RP2 membabitkan projek Pembinaan Floodwall Rantau Panjang dengan kos projek sebanyak RM465 juta sepanjang 2.5 kilometer di Bandar Rantau Panjang,” katanya.

Artikel Berkaitan: