Istilah Tanah Besar Malaysia tidak pernah diguna dalam perlembagaan

Semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara mendapati istilah ‘Tanah Besar Malaysia’ bagi merujuk Wilayah Sabah dan Sarawak tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada. - Foto hiasan
Semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara mendapati istilah ‘Tanah Besar Malaysia’ bagi merujuk Wilayah Sabah dan Sarawak tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara mendapati istilah ‘Tanah Besar Malaysia’ bagi merujuk Wilayah Sabah dan Sarawak tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, di bawah undang-undang sedia ada terdapat beberapa istilah yang telah digunakan seperti ‘East Malaysia’ (Malaysia Timur) dan ‘Peninsular Malaysia’ (Semenanjung Malaysia) yang telah ditakrifkan di bawah seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967, Akta 388.

Menurutnya, takrif bagi istilah-istilah ‘East Malaysia’ (Malaysia Timur) dan ‘Peninsular Malaysia’ (Semenanjung Malaysia) di bawah seksyen tersebut diperuntukkan di bawah Akta 388 kerana merupakan istilah yang selalu digunakan pada waktu semasa.

Tambahnya, definisi akta itu menyebut Malaysia Timur merujuk kepada Sabah dan Sarawak, manakala Semenanjung Malaysia bermaksud Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Hendaklah ditekankan juga bahawa takrifan sedemikian tidak merujuk kepada keluasan kawasan negeri di dalam dengan izin ‘East Malaysia’ dan ‘Peninsular Malaysia’ mahupun perbezaan dari segi kedudukan sebagai wilayah.

“Sebagai contoh, antara undang-undang sedia ada yang menggunakan istilah ‘East Malaysia’ dan ‘Peninsular Malaysia’ adalah seperti Seksyen 63, Seksyen 64 dan Seksyen 72, Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Perintah Insurans (Pengecualian) (No.2) 2012.

“Oleh yang demikian, kerajaan berpandangan istilah sedia ada dalam undang-undang seperti yang diterangkan adalah memadai. Tambahan pula, cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti yang diperuntukkan di dalam RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak akan memperuntukkan kembali istilah Negeri-Negeri Borneo (dengan izin ‘the Borneo States’) yang mana merujuk kepada Sabah dan Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk menjenamakan Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia (198,354km2 atau 60 peratus dari tanah Malaysia) memandangkan Federation of Malaya (132,265 km2 hanya 40 peratus dari tanah Malaysia) sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, selain negeri-negeri Persekutuan Malaysia juga mempunyai Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 (Akta A206) Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 (Akta A585) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 (Akta A1095).

“Kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan,” katanya.