X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Cubaan seludup gagal, dadah bernilai RM10 juta dirampas

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan nama dan identiti pengirim yang palsu dalam penyediaan dokumen eksport. - Foto hiasan
A
A

SHAH ALAM - Cubaan dua individu untuk menyeludup 304.99 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamin bernilai RM10.97 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor pada 17 November lalu.

JKDM dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, dua individu berkenaan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan kontena berisi dadah sebagai 'Chopped E Glass Fiberglass' di borang eksport.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut mengandungi tujuh palet berisi 278 guni putih dan di dalam guni tersebut terdapat 300 bungkusan plastik lut sinar mengandungi bahan kristal jernih," kata kenyataan tersebut pada Rabu.

JKDM berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan nama dan identiti pengirim yang palsu dalam penyediaan dokumen eksport.

"Siasatan juga mendapati kontena berisi dadah itu berlepas dari Pelabuhan Barat, Klang pada 25 Oktober," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, dua individu tersebut kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung.

Sementara itu, menurut JKDM, sejak Januari lalu sehingga kini nilai rampasan dadah di seluruh negara mencecah RM5.23 bilion membabitkan penahanan 19 suspek manakala lapan telah dihadapkan ke mahkamah.

Kenyataan turut menyebut, JKDM merampas dadah jenis methamphetamin seberat 1,192.057kg, amphetamine (16,000kg), ketamin (8kg), heroin (3.84kg) sejak Januari sehingga kini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!