Lima hospital terima geran bantuan tahunan ZPP

Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kiri) beramah mesra bersama wakil penerima bantuan geran tahunan ZPP.
Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kiri) beramah mesra bersama wakil penerima bantuan geran tahunan ZPP.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan sebanyak RM162,000 geran bantuan tahunan kepada lima buah hospital dan sebuah klinik kesihatan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, geran bantuan tahunan ZPP diwujudkan bagi meringankan beban pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Menurutnya, geran bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital-Hospital Negeri Pulau Pinang itu memasuki tahun ke enam.

"Kerjasama erat ini kerana ZPP menyedari fungsi Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk membantu pesakit khususnya dari aspek mengatasi masalah psiko sosial dan sosio ekonomi supaya mereka dapat kembali menjadi masyarakat yang produktif.

"Oleh itu, kita ingin membantu mereka yang memerlukan dan mempunyai masalah kesihatan ini sebab jika tidak dibantu, mereka mungkin tidak boleh bekerja dan kemungkinan besar mereka boleh jatuh fakir atau miskin," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan geran tahunan dan mesin oksigen kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital-Hospital Negeri Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Geran bantuan diserahkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin.

Pada majlis itu, Hospital Pulau Pinang menerima jumlah geran bantuan tertinggi iaitu RM100,000 dan Hospital Seberang Jaya pula menerima RM35,000.

Artikel Berkaitan:

Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Kepala Batas masing-masing menerima geran sebanyak RM10,000 manakala Hospital Sungai Bakap menerima RM5,000 dan Klinik Kesihatan Barat Daya menerima RM2,000.

Selain itu ZPP turut menyampaikan sumbangan mesin bantuan oksigen sebanyak 35 unit yang keseluruhannya bernilai RM160,000.

Amran berkata, 20 unit mesin bantuan oksigen akan diserahkan kepada Hospital Seberang Jaya manakala 15 unit lagi diberikan kepada Hospital Kepala Batas.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, penyerahan mesin bantuan oksigen ini dapat menampung kapasiti peralatan penting bagi membendung kesihatan pesakit Covid-19 khasnya asnaf dan miskin yang mencukupi sekali gus dapat memberikan rawatan terbaik kepada mereka.

Beliau berkata, dana geran agihan zakat perubatan itu memberi peluang dan membantu asnaf yang memerlukan pembiayaan kos perubatan dalam rawatan dan ubatan berkualiti untuk merawat penyakit mereka.

"Atas semua usaha murni ini juga dapat membantu menjaga dan mengangkat imej ZPP selaras dengan motonya iaitu 'Amanah ummah dijaga, hak asnaf dibela'," katanya.