Malaysia terus berwaspada ancaman varian Omicron

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

MALAYSIA mengambil pendekatan untuk terus berwaspada dengan penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang ditemui di Afrika Selatan baru-baru ini.

Pada Selasa, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi mandat untuk menentukan sekatan keluar dan masuk sempadan negara.

Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 (SOP) memutuskan KKM turut diberi mandat untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara tersebut.

Hishammuddin berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara susulan penularan varian Omicron tersebut.

Ujarnya, ia juga merupakan satu petunjuk yang baik kerana negara berada di landasan yang sentiasa mengikuti perkembangan berhubung kait penularan Covid-19 ketika ini.

Sementara itu, Hishammuddin turut menjelaskan, pendirian Malaysia untuk mengenakan larangan perjalanan ke Afrika Selatan bukan dibuat bersandarkan geopolitik atau hubungan dua hala, sebaliknya berasaskan kepada risiko keselamatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini merujuk strain baharu Covid-19 itu sebagai B.1.1.529, atau Varian of Concern (VOC) mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi spike protein, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, KKM turut menafikan dakwaan bahawa varian Omicron dikesan di Perak.

KKM meminta agar mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan penyebaran maklumat daripada sumber tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Kemunculan varian baharu itu meletakkan bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh dunia dalam situasi berjaga-jaga.