Kartel di Bukit Aman: Penting untuk rakyat tahu perkara sebenar

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini Merak Jalanan tarik nafas lega bila baca kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kata Hamzah, lepas beberapa siasatan dalaman diadakan, beliau mengesahkan tiada sebarang gerakan kartel dalam pasukan Sang Saka Biru.

Hamzah mendedahkan siasatan tersebut di Parlimen, malah pada sidang media beberapa hari lalu, beliau turut mengakui siasatan kini diteruskan pula oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Kata Hamzah, SIAP menyambung siasatan kerana beliau sendiri rasa belum berpuas hati hanya dengan siasatan dalaman.

Merak Jalanan pujilah dengan kesungguhan Pak Menteri yang terus menerus menjalankan siasatan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iyalah, rakyat di luar memerhati dan meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan-pasukan penguasa berkenaan.

Tidak kiralah PDRM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seboleh-bolehnya pasukan itu bebas daripada penyelewengan dan rasuah, apatah lagi gerakan kartel.

Justeru, Hamzah dan SIAP kenalah siasat dakwaan kartel berkenaan sampailah ke lubang cacing.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana yang buat pendedahan dan dakwaan itu bukanlah calang-calang orang. Bukan hanya sekadar ciapan di Twitter tanpa penama macam EDISI Siasat.

Sebaliknya yang dakwa itu adalah bekas orang nombor satu PDRM, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang buat pendedahan pada hari-hari terakhir beliau bertugas April lalu.

Tetapi Merak Jalanan tertunggu juga keputusan akhir siasatan kartel ini sebab rakyat perlu tahu duduk perkara sebenar – baik atau buruk.