Zainal mahu kekal bimbing Melaka United

Zainal Abidin Hassan
Zainal Abidin Hassan
A
A
A

ZAINAL Abidin Hassan menyuarakan hasratnya untuk kekal menyumbang bakti kepada Melaka United FC pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Zainal berkata, beliau semakin bersemangat untuk membimbing Melaka United mengecapi kejayaan selepas berjaya membawa barisan pemainnya mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, bekas penyerang berbisa skuad kebangsaan itu menyerahkan kepada pengurusan Melaka United untuk menentukan statusnya sebelum kontraknya tamat pada penghujung tahun ini.

“Kalau pihak pengurusan Melaka United mahu mengekalkan khidmat saya seperti yang dilaporkan media sebelum ini, saya rasa bersyukur dan berterima kasih.

“Sebab sebelum ini ada berbincang mengenai lanjutan kontrak tapi belum finalise. Apa-apa pun saya akan berunding bersama pihak pengurusan untuk tahu status saya dengan lebih lanjut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Seri Justin Lim dilapor mengumumkan pengurusan mahu mengekalkan Zainal sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga-M musim depan.

Tiga pemain import Melaka United turut dikekalkan - Sony Norde, Manuel Ott dan Adriano Narcizo manakala penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 202, Ifedayo Olusegun hampir pasti kembali ke pangkuan kelab lamanya itu.

Artikel Berkaitan: