‘Raja Muda Bunian’ tak mahu turun takhta

'Raja Muda Abdul Aziz' bersama kerusi yang menjadi tempatnya bersemayam.
'Raja Muda Abdul Aziz' bersama kerusi yang menjadi tempatnya bersemayam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Susulan penahanan seorang individu yang mendakwa sebagai Raja Muda bagi seluruh alam semesta semalam mengakui tidak berhasrat untuk turun takhta, walaupun telah ditahan pihak berkuasa atas dakwaan mengamalkan ritual aneh.

Menggunakan gelaran ‘Raja Muda Abdul Aziz’, lelaki berusia 34 tahun itu sebaliknya akan berbincang dengan pembesar daripada kalangan jin terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan meletak jawatan.

Suspek yang ditemui di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini berkata, pelantikannya dibuat oleh kalangan jin yang mengakui akan kehebatannya setelah ‘bertempur’ dan berhujah, sebelum ditabalkan sebagai pemerintah sejak beberapa bulan lalu.

“Sekarang kita dah tahu cerita orang bagi tau ada raja di Bukit Bauk (Dungun), ada istana dan ada raja... tapi bila saya cakap, sayalah raja dan itulah istana, orang tak boleh terima.

“Bila jin melantik saya sebagai raja muda, sesiapa yang mencari pasal dengan saya, akan dapat masalah, itu membuatkan kadang-kadang saya marah kepada mereka (jin) sebab saya masih lagi membina hubungan baik dengan manusia, walaupun layanan buruk orang terhadap saya,” katanya.

Difahamkan, suspek ini pernah berumah tangga, tetapi telah bercerai dan memiliki tiga anak.

Ketiga-tiga anaknya kini dijaga oleh bekas mentuanya.

Artikel Berkaitan:

Singgahsana 'Raja Muda Abdul Aziz'.
Singgahsana 'Raja Muda Abdul Aziz'.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Raja Muda' amal ritual aneh ditahan'

Sementara itu, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zulhaiza Ismail berkata, pihaknya telah mengambil keterangan lelaki berkenaan dan dia telah dilepaskan dengan jaminan Ketua Pegawai Penguat kuasa, sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 23.

Kes itu akan disebut pada 28 Julai depan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dan lelaki itu akan didakwa di bawah kesalahan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, iaitu di bawah Seksyen 6 (b) yang berkaitan dengan dakwaan palsu.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Lelaki ini ditahan di Surau Taman Rimba Bukit Bauk oleh sepasukan lapan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada jam 4.45 petang semalam

kerana dipercayai mengamalkan ritual aneh yang meragukan dan menghias surau berkenaan umpama istananya.

Polis menerima maklumat tentang aktiviti mencurigakan lelaki tersebut di surau berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohd Zohan Seman berkata, dalam tangkapan itu pihaknya merampas sebatang kayu mimbar yang dibalut dengan kain kuning dan putih serta dua batu nisan.

‘Raja Muda Bunian’ tak mahu turun takhta KUALA TERENGGANU- Individu yang mendakwa sebagai Raja Muda bagi seluruh alam...

Posted by Sinar Harian Edisi Terengganu on Tuesday, March 12, 2019