X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

'Keadaan amat teruk, kami perlu dedahkan'

Afham (kiri) dan Izwan membawa pulang hadiah wang RM40,000, trofi dan sijil setelah laporan 'Kartel daging haram' yang dibongkar mereka dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai dan hadiah Emas bagi Kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan semata-mata menyelesaikan tugasan, sebaliknya demi menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat, menjadi aspirasi buat dua wartawan Sinar Harian untuk membongkar isu penyeludupan daging haram yang akhirnya berjaya dinobatkan sebagai Hadiah Kajai Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Izwan Rozlin, 39, dan Muhammad Afham Ramli, 32, masing-masing menzahirkan rasa terharu atas kemenangan kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia - MPI Petronas 2020 itu.

Izwan berkata, pelbagai cabaran dihadapi mereka demi mendedahkan sindiket tersebut kepada umum, namun atas dorongan dan kerjasama berpasukan Sinar Harian, ia dapat disampaikan dengan jayanya.

Menurutnya, mereka mengambil masa sebulan bagi melakukan siasatan sehingga membawa kepada tindakan operasi dan serbuan oleh pihak berkuasa di gudang simpanan daging yang diimport secara haram itu.

"Sebelum itu kami berdepan cabaran untuk mendapatkan sumber-sumber sahih yang boleh ditonjolkan dalam laporan.

"Laporan berat seperti ini memerlukan sumber yang sahih dan beberapa siri laporan susulan juga mengambil masa,"katanya ketika ditemui pada Malam Wartawan Malaysia 2021 di sini pada Selasa.

Afham menambah, serbuan dilakukan pihak berkuasa juga menjadi kemuncak untuk mereka terus membongkarkan isu berkenaan setelah melihat sendiri situasi yang amat menyentuh sensitiviti umat Islam itu.

"Kami lihat sendiri situasi yang amat teruk dan sensitif bagi umat Islam. Kerana itu apabila mendapat tugasan, saya tidak melihat ia sebagai kerja semata-mata.

"Namun sebagai tanggungjawab kami sendiri sebagai umat Islam untuk dedahkan dan buka mata banyak pihak khususnya masyarakat serta pihak berkuasa," katanya.

Justeru, mereka mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan tertinggi Sinar Harian, termasuk bekas Penasihat Editorial Eksekutif, Allahyarham Datuk Abdul Jalil Ali; bekas Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman.

Pada Disember 2020 Sinar Harian membongkar modus operandi kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Berikutan pendedahan tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import.

Susulan itu juga, sebuah syarikat makanan sejuk beku, pengarah dan pengurus didakwa atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan bagi membekalkan daging sejuk beku.

Turut didakwa, empat pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) atas 10 pertuduhan melibatkan jenayah kartel daging antara Disember 2016 hingga Disember tahun lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!